Lima Nelayan Ditahan, Bot Pukat Tunda Dirampas APMM Langkawi

BOT pukat tunda kelas B1 yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan Langkawi di sini, pagi semalam kerana melanggar syarat lesen menangkap ikan kurang daripada lapan batu nautika dari pantai. - Foto ihsan APMM
LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima nelayan warga tempatan dan merampas sebuah bot pukat tunda yang menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang lapan batu nautika dari perairan pulau ini, pagi semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim 1 Langkawi, Komander Maritim R Vincent, berkata pihaknya mengesan bot nelayan terbabit pada jarak lima batu nautika dari Tanjung Belua, pada jam 10.30 pagi.

"Bot pukat tunda kelas B1 didapati sedang menarik pukat dan pemeriksaan menemui lima awak-awak berusia antara 20 hingga 40 tahun yang dipercayai menjalankan aktiviti yang melanggar syarat lesen.

"Kami terpaksa merampas bot pukat tunda dan menahan awak-awak terbabit mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang daripada lapan batu nautika," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Vincent berkata, pihaknya memandang serius pencerobohan perairan bagi aktiviti menangkap ikan hingga dilihat mampu menjejaskan ekosistem sedia ada.

"APMM akan terus mengadakan operasi bagi membanteras kegiatan penangkapan ikan secara tidak sah di perairan pulau pelancongan ini," katanya.

Sumber: BH Online