Mahathir Tuduh PAS Tak Bawa Kejayaan Buat Islam, Pecah Belah Melayu


ALOR SETAR - Bersempena Muktamar PAS Ke-63 pada 29 April ini, Tun Dr Mahathir Mohamad sengaja menempelak PAS sebagai sebuah parti yang tidak membawa sedikit pun kejayaan buat Islam.

Malah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM) menuduh parti itu hanyalah terhad kepada menjadi punca pecah-belah bangsa Melayu di negara ini.

"Perjuangannya sebagai parti Islam, jika ada, tidak sedikitpun berhasil.

"Kejayaannya terhad kepada memecah-belah orang Melayu sehingga pengaruh dan kuasa mereka berkurangan dalam politik negara," tulis Mahathir dalam entri terbaru blog beliau, semalam.

Lebih hangat, bapa kepada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, itu turut menyelar PAS dan mendakwa kewujudan parti itu hanyalah merupakan satu 'malapetaka'.

"Bagi orang Melayu penubuhan PAS adalah satu malapetaka. Ia memecah-belah perpaduan Melayu dalam UMNO yang berjaya menumpaskan Malayan Union.

"Walaupun orang Melayu menjadi majoriti di Malaysia, tetapi dengan adanya PAS orang Melayu tidak menjadi majoriti lagi," tulis beliau lagi.

Mantan Perdana Menteri yang berkuasa kira-kira 22 tahun itu berkata, bukan hanya bangsa Melayu, PAS juga menjadi punca utama umat Islam di negara ini berpecah-belah sehingga sanggup mengkafirkan orang Melayu yang enggan menyertai parti itu.

"Oleh kerana semua orang Melayu beragama Islam, penubuhan PAS bukan sahaja memecah-belah orang Melayu tetapi juga memecah-belah orang Islam.

"Demikianlah dalam usaha PAS untuk mendapat sokongan mereka sanggup mengkafir orang Melayu yang tidak menyertai parti PAS," katanya, memetik blog beliau.

Mahathir sebelum ini cuba memaksa PAS supaya menyertai Pakatan Harapan yang dikuasai DAP, namun gagal.

Sebaliknya, mantan Perdana Menteri dan rakan sekutu barunya, PKR, menolak pelawaan PAS untuk menyertai Gagasan Sejahtera yang ditubuhkan PAS bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum(PRU) ke-14.

Ekoran itu, Mahathir dilihat lebih memandang tinggi terhadap DAP dan amat memerlukan pengaruh parti yang terkenal dengan jolokan "chauvinis ultra kiasu" itu untuk meneruskan survival PPBM yang beliau asaskan.

Mahathir sebelum itu gagal menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di dalam UMNO sebagaimana yang beliau lakukan terhadap penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan kemudian menubuhkan PPBM semata-mata untuk menjatuhkan UMNO yang sebelum ini mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun. - Kedahnews.com