Mahfuz Dakwa Langsung Tak Terkesan Dihentam Orang PAS


ALOR SETAR – Ahli Parlimen Pokok Sena,  Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa beliau langsung tidak terkesan dengan pelbagai hentaman dan kutukan sama ada dari oleh pemimpin PAS atau ahli parti itu.

Beliau berkata, hanya anggota PAS di kawasan yang diwakilinya sahaja yang tahu mengenai perkara sebenar.

Mahfuz juga mendakwa dirinya kerap telah mengadakan pejumpaan mingguan bagi memperjelaskan segala yang tersurat bagi mengelakkan sebarang salah faham berhubung tindakannya yang lantang mengkritik parti PAS.

“Saya tak terkesan dengan kenyataan orang PAS tak anggap saya ahli parti, sebab setiap minggu saya akan adakan perjumpaan dengan ahli PAS di kawasan saya," katanya.

Katanya, setiap ahli PAS yang ditemuinya memahami situasi yang dialaminya ketika ini dan turut bersetuju dengan tindakan yang diambilnya sebelum ini.

Tambah Mahfuz lagi, perjumpaan mingguan yang diadakan tersebut tidak dilakukan secara terbuka kerana bagi menjaga keselamatan ahli-ahli parti yang ditemuinya tersebut, namun apa yang penting adalah mereka faham intipati maksud yang cuba disampaikannya.

“Depa (mereka) tak akan buat secara terbuka.

"Saya kena jaga depa, kalau tak, mereka nanti kena pulau, kena pecat, kena pinggir daripada masyarakat setempat," katanya lagi.

Terdahulu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin mengeluarkan kenyataan bahawa anggota parti Islam tersebut kita tidak boleh menerima Mahfuz sebagai sebahagian daripada parti tersebut kerana kritikannya sebelum ini menunjukkan seperti beliau bukan ahli PAS.

Sementara itu,  Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini menasihati Mahfuz agar meninggalkan sahaja PAS kerana terus mengkritik, menyerang parti dan berada sepentas dengan musuh PAS. – Kedahnews.com