Mahfuz Mahu Hadir Muktamar PAS Pada Jun, Bukan April


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa beliau hanya akan menghadirkan diri dalam muktamar PAS yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun sahaja dan tidak akan hadir pada muktamar yang dijadualkan pada penghujung bulan ini.

“Bulan enam saya akan hadir. Yang lain saya tidak tahu, mana ada?," katanya.

Menurut Ahli Parlimen PAS itu, beliau langsung tidak maklum berhubung muktamar yang akan diadakan PAS pada hujung bulan April ini.

Oleh kerana itu katanya, beliau beranggapan bahawa muktamar PAS pada tahun ini akan berlangsung pada Jun ini.

“Bila muktamar? Lambat lagi. Bulan enam selalunya muktamar.

"Saya tidak tahu. Saya tidak ada makluman,” katanya lagi.

Walau Bagaimanapun, Mahfuz masih tetap mengaku bahawa dirinya adalah anggota PAS meskipun sebelum ini dilihat aktif melemparkan pelbagai kritikan terbuka terhadap dasar parti dan pucuk pimpinan PAS.

Beliau juga sering dilihat berada sepentas dengan musuh partinya, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN), selain tidak mengendahkan pendirian parti yang enggan lagi sepentas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Muktamar PAS yang dijadualkan pada 28 April ini dijangka bakal diadakan di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut dan akan memberi penekanan berhubung isu RUU 355 dan hubungan tahaluf siyasi bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR). – Kedahnews.com