"Mahfuz Omar Tidak Sopan..."


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dianggap sebagai tidak sopan apabila bertindak menyerbu masuk beramai-ramai ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sejurus selepas persidangan selesai hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, beliau menyedari hasrat Mahfuz yang hanya mahu menyerahkan memorandum kepadanya, namun cara Mahfuz menyerbu sebegitu tidak dapat diterima.

"Saya sedia maklum mengenai hasrat sekumpulan penduduk yang diketuai Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mahu menyerahkan satu memorandum kepada saya.

"Namun tindakan Mahfuz yang enggan menyerahkannya kepada wakil saya sebelum menyerbu beramai ramai masuk ke dalam Dewan sebaik Sidang DUN ditangguhkan amat mengejutkan, selain bagi saya adalah kurang sopan.

"Saya menganggap tindakan Mahfuz sebagai tidak sopan dan saya tidak fikir ia boleh diterima oleh mana mana pihak," kata Menteri Besar Kedah itu kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Jelas Ahmad Bashah, beliau telah mengarahkan pegawainya supaya menerima memorandum dari Ahli Parlimen Pokok Sena itu untuk diteliti sebagaimana amalan biasa mana-mana pemimpin kerajaan sebelum ini.


Namun kedegilan Mahfuz bertindak tidak sopan itu menimbulkan tanda tanya tentang niat sebenar beliau sama ada sengaja mahu mencari publisiti murahan atau menutup kelemahan diri yang sebelum ini dilihat gagal melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di Pokok Sena.

"Jadi persoalan saya apa niat beliau sebenarnya melakukan serbuan seperti itu di dalam Dewan.

"Adakah ia satu tindakan untuk mencari populariti sekaligus menutup kelemahan beliau di kawasan yang diwakilinya atau ia semata mata atas kepentingan rakyat?," pertikai Ahmad Bashah berkenaan niat sebenar Mahfuz.

Katanya, Mahfuz selaku pemimpin politik veteran sepatutnya tahu dan memahami tentang cara yang lebih sopan untuk menyuarakan sesuatu termasuk masalah berkait rakyat dan beliau selaku Menteri Besar sentiasa terbuka untuk mempertimbang.

"Mahfuz sepatutya memahami perkara itu dan beliau ada peluang untuk berjumpa dengan saya untuk bertanyakan hal itu di masa yang lain kerana saya sentiasa terbuka," kata beliau.

Pegawai Khas Menteri Besar, Syed Abdul Hafiz Syed Mustafa akhirnya menerima memorandum berkenaan bagi pihak Menteri Besar di depan pejabat beliau kemudian.

Mahfuz tengahari tadi menyerbu masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri beramai-ramai bersama beberapa orang individu untuk bertemu Menteri Besar Kedah bagi menyerahkan memorandum berhubung pertikaian tanah berstatus TOL di Kampung Baru, Bukit Pinang.

Ekoran tidak dilayan Ahmad Bashah, Mahfuz mengambil kesempatan mengadakan sidang media di luar dewan dan menempelak Menteri Besar mengandaikan persepsi kononnya sengaja "melarikan" diri dari rakyat yang mahu bertemu dengan beliau. -Kedahnews.com