Mahfuz Perlu Minta Maaf Pada MB, Speaker Dun Kedah - Adun


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar digesa supaya segera memohon maaf atas tindakan biadapnya menyerbu masuk Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah dan mengherat sekumpulan individu bersamanya kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Merdeka, Datuk Ali Yahya berkata, Dun merupakan sebuah dewan mulia yang menjadi medan untuk anggotanya berbincang merumus dan menentukan hala tuju negeri Kedah.

Adun Pantai Merdeka, Datuk Ali Yahya
Justeru itu tegas beliau, Mahfuz tidak wajar mencemarkan Dewan berkenaan dengan budaya merusuh dan elemen "badut sarkas" di premis berkenaan.

"Sidang Dun adalah pentas tertinggi bagi semua Adun merumus dan membahas dasar-dasar utama negeri.

"Kemuliaannya terjejas dek kerana budaya merusuh, elemen badut dan sarkas cuba di bawa masuk melalui tindakan Mahfuz. Sehingga suasana kondusif di kalangan kami ahli Dewan turut terjejas.


"Mahfuz digesa memohon maaf keada Speaker Dun (Datuk Md Rozai Sapian) dan Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah) atas tindak tanduknya yang kurang sopan," tegas Ali dalam kenyataannya yang diterima Kedahnews.com.

Adun Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid (kiri)
Sementara itu, Adun Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid pula berkata, Mahfuz sepatutnya bijak mengambil kesempatan dengan keperibadian Ahmad Bashah yang sememangnya dikenali sebagai seorang pemimpin yang terbuka dan mudah didekati rakyat.

Namun beliau kesal apabila Ahli Parlimen Pokok Sena itu lebih senang untuk memilih cara "kurang ajar" dengan bertindak ala samseng menyerbu masuk ke dalam Dewan berkenaan.

"Sikap mesra rakyat Menteri Besar telah diambil kesempatan secara yang kurang wajar oleh Mahfuz.

"Adab bangsa dan agama kita mengajar supaya mengetuk pintu dan memberi  salam sebelum beroleh izin untuk masuk ke rumah orang.

"Malangnya, Mahfuz memilih untuk berkurang ajar merempuh masuk tanpa izin ke rumah orang selain bertindak ala samseng," ujar beliau, kesal dengan akhlak yang dipertontonkan Mahfuz di depan rakyat.

Manakala bagi Adun Kupang, Datuk Harun Aziz berkata, lazimnya amalan Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui Pakatan Rakyat sebelum ini hanya dapat diserahkan kepada Menteri Besar menerusi wakilnya sahaja.

Adun Kupang, Datuk Harun Aziz (berdiri, kanan)
Malah katanya, ketika di zaman pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, ketidakpuasan hati yang diluahkan rakyat menerusi memorandum itu juga hanya dapat diserahkan kepada wakil Menteri Besar di luar pagar pintu masuk Wisma Darul Aman.

Oleh itu kata Harun, Mahfuz sengaja menunjukkan kedegilan beliau dan berlagak "hero" di depan penduduk kampung dengan menyerbu masuk ke Dewan tersebut.

"Di zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan tanpa PAS) di Kedah, sebarang memorandum rasa tidak puas hati rakyat pada kerajaan negeri hanya boleh di diserahkan di luar pintu pagar Wisma Darul Aman.

"Lazimnya memorandum pulak sekadar diterima oleh kerani kanan pejabat MB. Namun dalam kes ini, pihak terlibat bukan sahaja disambut pegawai kanan Menteri Besar, malah dirai dengan sarapan pagi.

"Meskipun begitu, kedegilan Mahfuz untuk menunjuk 'hero' menyebabkan dia menghasut penduduk kampung yang tidak berdosa untuk merempuh pintu Sidang Dun dan bersikap kasar serta langsung tidak tunjukkan rasa hormat pada Menteri Besar," ujar beliau.

Semalam, satu laporan polis terhadap Mahfuz telah dibuat oleh Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, meminta pihak berkuasa itu bertindak terhadap anggota parlimen tersebut.

Ketuanya, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, laporan polis berkenaan adalah pendirian bersama Pergerakan Pemuda, Wanita, Puteri UMNO Kedah bersama sayap-sayap parti komponen Barisan Nasional (BN) terhadap tindakan biadap Mahfuz terhadap Menteri Besar dan Dewan Undangan Negeri pada 10 April, baru-baru ini. - Kedahnews.com