Mahfuz Pula Mahu MB, Pemuda UMNO Minta Maaf


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa supaya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memohon maaf kepada penduduk kampung yang datang untuk bertemu Menteri Besar Kedah itu di Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 10 April lalu.

Mahfuz berkata, respon Menteri Besar ketika itu tidak bersopan kerana enggan bertemu dengan rakyat yang membawa masalah yang dihadapi di kawasan masing-masing.

"Jadi saya anggap Menteri Besar ini tidak bersopan. Bukan kurang sopan, memang tidak sopan.

"Jadi saya harap pihak Menteri Besar meminta maaf kepada penduduk-penduduk Bukit Pinang dan penduduk di tepi laut Kuala Kedah yang hadir sama untuk menyerahkan memorandum berkaitan masalah yang dihadapi oleh mereka," kata Mahfuz pada sidang media yang diadakan di Pusat Komuniti DAP Adun Derga, di sini pagi tadi.

Sidang media yang diadakan di premis Adun DAP Derga, Tan Kok Yew, itu turut dihadiri oleh Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah, Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa, dan penduduk kampung terbabit.

Kata Mahfuz, Ahmad Bashah selaku Menteri Besar dan Pengerusi Permodalan Kedah Berhad (PKB) tidak mengambil peduli tentang permasalahan penduduk Kampung Baru di Bukit Pinang dan "lari" dari memikul tanggungjawab sebagai pemimpin yang prihatin.

Selain itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menuntut supaya Pergerakan Pemuda UMNO Negeri memohon maaf kerana membela Ahmad Bashah dengan membuat satu laporan polis terhadap beliau, semalam.

Pada 10 April lalu, Mahfuz dilaporkan telah menyerbu masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri sejurus selepas sidang Dun ditangguhkan bersama sekumpulan individu yang dipercayai penduduk kampung terlibat untuk menyerahkan memorandum kepada Ahmad Bashah.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar itu enggan melayan kerenah Mahfuz yang dianggap cuba mempergunakan penduduk kampung terbabit dengan mempolitikkan keadaan dan bertindak tidak sopan menyerbu masuk ke dalam dewan secara tidak beretika.

Ahmad Bashah yang sebelum ini dikenali sebagai seorang pemimpin yang mudah didekati turut menyatakan rasa tersinggung beliau dengan tindakan tidak beretika Mahfuz yang beliau yakin hanya untuk meraih populariti dan menutup kegagalannya menunaikan tanggungjawab di parlimen Pokok Sena sebelum ini.

Sementara itu, sumber PKB menjelaskan bahawa rundingan dengan penduduk kampung yang terlibat sama ada di Bukit Pinang mahupun di Kuala Kedah sudah berlangsung kira-kira lebih lima bulan lalu dalam mencari kata sepakat dan mewujudkan situasi menang-menang.

Menurut sumber itu lagi, beberapa tawaran yang setimpal telah diberikan kepada penduduk terbabit sebagai pampasan untuk berpindah dari tanah milik kerajaan berstatus TOL itu menerusi rundingan-rundingan yang diadakan.

Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Syed Ali Syed Rustan pula meluahkan rasa kesal beliau berhubung tindakan Mahfuz yang telah merosakkan usaha pihaknya hampir lima bulan untuk mencipta penyelesaian di antara pemaju dan penduduk berkenaan.

Jelas beliau, hasil dari rundingan-rundingan sebelum ini menunjukkan respon positif yang hampir membawa kepada jalan penyelesaian antara dua pihak berkenaan, namun kerakusan Mahfuz mempolitikkan keadaan telah menjejaskan usaha tersebut. -Kedahnews.com