Mahfuz Takut Keluar Parti Kerana Bai'ah, Tunggu Dipecat - PAS


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dikatakan takut untuk keluar dari PAS ekoran menyedari dirinya terikat dengan sumpah bai'ah yang diikrar pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, oleh kerana sumpah bai'ah itu Mahfuz terpaksa kekalkan diri di dalam PAS sambil melakukan onar terhadap parti sendiri untuk menanti tindakan dipecat dari parti.

"Saya rasa dia ni takut dengan bai'ah dan sumpahnya sebab itu beliau tidak berani keluar dari parti dan menunggu untuk dipecat," kata beliau dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd Amar mendakwa Mahfuz juga tidak berani bertindak menyertai Parti Amanah Negara (PAN) kerana sedar dirinya akan terkeluar secara automatik dari parti sekiranya menyertai parti serpihan PAS itu.

"Namun, kalau beliau sertai PAN, secara automatik beliau akan terkeluar daripada PAS sebab dalam Perlembagaan jelas mengatakan jika ahli menyertai parti lain, akan dikeluarkan serta-merta,"jelas beliau.

Menjawab pertanyaan sama ada PAS akan mengambil tindakan tatatertib terhadap Mahfuz, Naib Presiden parti itu menyerahkan keputusan tersebut kepada Lembaga Jawatankuasa Disiplin parti untuk bertindak.

"Kami ahli jawatankuasa PAS Pusat tidak masuk campur urusan ahli jawatankuasa disiplin ini, tugas kami hanyalah menyediakan bahan bukti sahaja" kata beliau mengenai tindakan Mahfuz yang dikecam hebat ramai pihak di dalam parti berkenaan.

Justeru itu kata Mohd Amar, kedudukan Mahfuz yang dilihat tidak lagi berpihak kepada partinya sendiri itu menyebabkan beliau seolah-olah sedang berusaha mencari "penaung baru" bagi meneruskan survival politiknya yang kelam jika terus bersama PAS.

"Saya sebenarnya kesian tengok sebab beliau (Mahfuz) tak tahu ke mana dan mencari tempat untuk bergantung.

"Namun, bagi saya beliau sudah buat silap. Kalau duduk elok-elok kat PAS, peluang beliau lebih cerah,"katanya menyindir Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz sebelum ini dikatakan cenderung menyebelahi PAN dan sebuah lagi parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), serta lantang mengkritik keras pendirian PAS kerana enggan bekerjasama dengan DAP dan PAN di dalam Pakatan Harapan.

Mengkritik kepimpinan PAS, terutama Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini, Mahfuz juga disifatkan sebagai "duri dalam daging" oleh PAS Kawasan Pokok Sena yang menggesa beliau supaya keluar parti.

Mohd Amar dan Abdul Hadi sebelum ini turut menunjukkan "jalan keluar" kepada Mahfuz supaya meninggalkan PAS sekiranya tidak menghormati keputusan jemaah parti itu serta terus melakukan serangan terhadap pendirian parti Islam tersebut. - Kedahnews.com