Mahfuz Terus Gesa PAS Kersajama, Sertai Pakatan Harapan


ALOR SETAR - PAS dan pucuk pimpinan parti itu digesa supaya melihat kepentingan secara menyeluruh dan mengambil keputusan untuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, sikap PAS dan pucuk pimpinannya menjadi penyebab utama parti itu terpinggir dari part-parti pembangkang lain di negara ini yang bergabung di dalam Pakatan Harapan.

"Namun begitu, apa yang terjadi pada hari ini, sikap pemimpin PAS yang sebegitu menyebabkan PAS terus terpinggir dari arus perdana politik.

"Seharusnya semua parti bekerjasama tumbangkan BN. Saya tak mahu fikir untuk selamatkan parti saya (PAS). Tetapi saya mahu berfikir bagaimana cara untuk menyelamatkan rakyat," gesa Mahfuz terhadap partinya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mendakwa pandangannya itu adalah kerana beliau mahu PAS maju ke hadapan dan meminta supaya ahli dan pemimpin PAS supaya tidak tersalah faham dengan pandangannya itu.

"Kepada rakan seperjuangan saya di dalam PAS, jangan kata saya mencemuh PAS. Saya tidak pernah mencemuh anda, cumanya saya ingin merayu kepada mereka untuk bersama-sama maju ke hadapan.

"Saya merayu lagi sekali, jangan salah faham dengan saya," kata Mahfuz yang sebelum ini teruk dihentam penyokong, ahli dan pimpinan PAS.

Jelas Mahfuz lagi, beliau kesal dengan tindakan ramai pihak di dalam partinya yang sebelum ini menyalah anggap pendirian dan kelantangannya mengkritik PAS.

"Sejak kebelakangan ini, rakan-rakan saya dalam PAS banyak yang salah faham dengan saya," ujarnya yang mendakwa enggan berdiam diri melihat PAS terus tersasar dari kemahuan beliau.

Mahfuz sebelum ini teruk dihentam ahli dan pemimpin PAS ekoran tindakan beliau menyerang parti secara terbuka sehingga menjejaskan imej parti.

Antara pemimpin yang sebelum ini menyarankan supaya Mahfuz keluar dari PAS adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan PAS Kawasan Pokok Sena sendiri.

Sementara itu, PAS Kedah dilihat mengambil pendekatan "selamat" untuk enggan membuat sebarang tindakan terhadap Mahfuz, sebaliknya menyerahkan sebarang keputusan tindakan disiplin terhadapnya kepada PAS Pusat. -Kedahnews.com