Mahkamah Rayuan Tolak Rayuan Ahli Parlimen PKR Bukit Katil


Mahkamah Rayuan semalam menolak rayuan Anggota Parlimen Bukit Katil, Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mencabar keperlembagaan undang-undang digunakan terhadapnya bagi pertuduhan menyertai perhimpunan “Black 505”.

Penel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memutuskan rayuan Shamsul Iskandar tidak dikemukakan secara betul di mahkamah.

Beliau memutuskan bantahan awal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud bahawa rayuan Shamsul Iskandar bercanggah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Gan Boon Aun yang menetapkan hanya Mahkamah Persekutuan diberi kuasa untuk memutuskan keperlembagaan undang-undang itu.

Hakim Zawawi yang bersidang bersama-sama Hakim Tan Sri Idrus Harun dan Hakim Datuk Kamardin Hashim, memerintahkan perkara itu dikembalikan semula ke Mahkamah Sesyen.

Katanya Shamsul Iskandar perlu mematuhi sepenuhnya Seksyen 30 dan Seksyen 84 Akta Mahkamah-Mahkamah 1964 dalam permohonannya untuk mencabar keperlembagaan undang-undang itu dengan merujuk ia ke Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

Pada 5 Ogos, 2013, Shamsul Iskandar, 41, bersama-sama Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, 37, dan Mohd Nazree Mohd Yunus, 30, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan menyertai perhimpunan di perkarangan Masjid Ar-Rahman di Universiti Malaya antara 12 tengah hari dan 1.15 tengah hari pada 22 Jun, 2013.

Pertuduhan itu membawa hukuman denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Shamsul Iskandar kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2014 memohon mahkamah membatalkan pertuduhan terhadapnya atas alasan Seksyen 4 (2) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah tidak berperlembagaan dan bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Tinggi menolak permohonannya pada 26 Feb tahun lepas, mendorongnya mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, Awang Armadajaya berhujah bahawa kegagalan Shamsul Iskandar untuk mematuhi peruntukan dalam Seksyen 30 dan Seksyen 84, menjejaskan rayuannya. Turut mewakili pihak pendakwaan ialah Timbalan Pendakwa Raya Nadia Hanim Mohd Tajuddin.

Peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, yang mewakili Shamsul Iskandar, dalam hujahnya berkata anak guamnya mengemukakan rayuan di mahkamah rayuan kerana Mahkamah Tinggi telah menjalankan bidang kuasa asalnya dalam memutuskan perkara itu. – BERNAMA