Malindo Air Nafi Penyelia Lelaki Periksa Tubuh Calon


KUALA LUMPUR – Malindo Air menafikan laporan sebuah media bahawa pemeriksaan tanda kekal pada tubuh badan calon pramugari syarikat penerbangan itu dilakukan oleh penemuduga lelaki.

Malindo Air dalam satu kenyataan media semalam berkata, siasatan dalaman syarikat penerbangan itu berikutan laporan tersebut mendapati dakwaan tersebut adalah tidak benar.

“Pemeriksaan ke atas tanda yang boleh kelihatan (pada tubuh badan calon) dijalankan secara profesional oleh penyelia wanita secara persendirian sebagai sebahagian daripada proses temuduga.

“Pemeriksaan ke atas calon pramugari Malindo Air itu bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang tanda kekal yang boleh kelihatan sewaktu memakai uniform,” kata kenyataan itu hari ini.

Malindo Air berkata, setiap calon pramugari syarikat penerbangan itu telah dijelaskan serta memberi kebenaran untuk melakukan pemeriksaan tersebut dan sehingga hari ini terdapat seramai 700 pramugari di Malindo Air.

Kata Malindo Air, pemeriksaan itu merupakan prosedur operasi standard (SOP) syarikat penerbangan berkenaan dalam menemuduga calon pramugari sejak empat tahun lalu. – Kedahnews.com