ALOR SETAR - Bekas penolong jurulatih Kedah, Ramon Marcote sekali lagi menafikan khabar angin yang mendakwa kononnya beliau telah dilamar Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk menggantikan tempat Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe.
Marcote berkata, dia sudah lama tidak dihubungi KFA sekaligus menafikan dakwaan ditawar untuk menjadi Ketua Jurulatih Kedah.
"Sudah lama saya tidak mendengar khabar daripada KFA.
"Satu penghargaan bagi sekiranya Kedah atau pasukan lain berminat untuk mendapatkan khidmat saya.
"Namun seperti yang saya katakan, tidak ada sebarang tawaran setakat ini," ujar bekas jurulatih skuad remaja Atletico Madrid itu, memetik laporan mStar.
Walau bagaimanapun, Marcote yang ini bertugas sebagai penasihat metadologi latihan Akademi Atletico Madrid memberitahu bahawa dia sedia berbincang dengan mana-mana pasukan sekiranya mendapat tawaran, termasuk Kedah.
KFA dalam kenyataan terkininya menjelaskan bahawa terdapat tiga nama yang telah disenarai pendek dan dibincangkan dalam mesyuarat persatuan bola sepak itu baru-baru ini.
Pada kenyataan itu, KFA turut menjelaskan bahawa salah seorang calon yang berada dalam penelitiannya adalah seorang jurulatih asing yang pernah berkhidmat dengan skuad Hijau Kuning, namun enggan mendedahkan namanya.
Jelas kenyataan itu, pihak KFA perlu membuat penelitian rapi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tawaran kepada mana-mana jurulatih untuk memastikan keputusan yang dibuat tidak bersifat "tangkap muat".
Marcote, 40, yang difahamkan memiliki lesen kejurulatihan Pro A UEFA pernah menyertai pasukan Kedah pada April 2015 sebagai jurulatih kecergasan bagi menggantikan Ian Gillian yang dilantik sebagai pengarah teknikal.
Ketika menjadi penolong kepada Tan Cheng Hoe, Marcote berjaya mengadaptasi corak permainan hantaran pendek (tiki-taka) yang menjadi kebanggaan skuad hijau kuning itu.
Malah ketika Cheng Hoe menjalani kursus Kejurulatihan Pro di China untuk beberapa bulan, Marcote telah berjaya membawa Kedah ke puncak perlawanan akhir Piala Malaysia untuk menentang Selangor, namun tewas.
Bagaimanapun, Marcote bertindak meninggalkan Kedah selepas perlawanan akhir itu dengan alasan ingin menyambung pengajian di peringkat PhD dalam bidang sains sukan di negara asalnya, Sepanyol.
Selain itu, timbul juga desas-desus yang mendakwa Marcote meminta supaya diberikan kenaikan gaji yang agak tinggi dan permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi KFA diwaktu itu sekaligus menyebabkan dia meninggalkan skuad Helang Merah. - Kedahnews.com