Masalah Air Kg Pauh Di Yan Akan Pulih, Harap Penduduk Sabar - SADA

Rosli bersama dua penduduk kampung berkenaan menunjukkan paip yang tidak mengeluarkan air.
YAN - Seramai 260 penduduk dari Kampung Pauh mengeluh kerana terpaksa bersabar dengan gangguan bekalan air sejak dua tahun lalu.

Setiausaha penduduk, Mohd Hizamani Sulaiman, 38, berkata, masalah itu semakin kritikal sejak kebelakangan ini apabila klinik desa, sekolah, tadika dan masjid turut berdepan masalah sama.

Katanya, keadaan itu turut menyukarkan jemaah yang datang ke masjid untuk menunaikan solat.

“Bukan di kampung ini saja, penduduk kampung berdekatan turut mengalami masalah sama.

"Mahu ambil wuduk di rumah, rumah pun tak ada air. Mujur masjid ada tangki untuk tadah air pada waktu malam. Bolehlah jemaah guna air tu. Paling susah bila hari Jumaat. Air dalam tangki tak mampu tampung keperluan jemaah yang hadir,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Kampung Pauh.

Menurut penduduk, Baharom Hasan, 61, masalah ketiadaan air turut mengganggu rutin harian mereka sekeluarga.

Katanya, jika ada penduduk mahu mengadakan kenduri, mereka akan menghubungi Syarikat Air Darul Aman (Sada) seminggu lebih awal bagi membolehkan bekalan air dihantar.

“Anak-anak mahu ke sekolah, tapi tiada air. Keadaan ini menyukarkan penduduk. Sada tak datang setiap hari, jadi kami agak terbeban untuk hubungi mereka setiap kali mahu menggunakan air,” katanya.

Tambah Rosli Din, 53, walaupun tidak dapat bekalan air, mereka tetap perlu melunaskan bil setiap bulan dengan bayaran minimum RM6.

“Sudahlah air tak dapat, bil tetap kena bayar. Ini yang membuatkan kami tak puas hati,” katanya.

Bagi Norma Mat Isa, 47, ketiadaan air menyukarkan urusan hariannya untuk membasuh pakaian dan memasak.

“Pakaian perlu dibasuh setiap hari, jadi saya bilas dengan air saja. Kalau guna sabun risau perlu banyak air. Pinggan mangkuk untuk makan tengah hari hanya dibasuh jam 3 atau 4 pagi. Walaupun perlahan, bolehlah saya buat kerja rumah. Kami beli air mineral untuk diminum,” katanya.

Menurut guru tadika yang mahu dikenali sebagai Ani, kanak-kanak yang datang ke sekolah disaran bawa air botol untuk kegunaan sendiri.

“Air tersebut akan digunakan jika mereka ke tandas. Pelajar didapati cirit-birit akan dihantar pulang ke rumah kerana masalah air sangat kritikal,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman berkata, masalah tersebut berpunca daripada pam tangki sedutan di Titi Hayun yang mengalami kekurangan air.

“Masalah ini disebabkan tangki itu perlu menyalurkan air ke banyak tempat. Bagi mengatasi gangguan, kerja pemasangan paip sambungan bersaiz enam inci akan dilakukan pada minggu hadapan.

"Selepas siap, bekalan air untuk penduduk Kampung Pauh tidak perlu lagi bergantung kepada tangki sedutan Titi Hayun, sebaliknya melalui paip agihan Kampung Perupuk. Kita harap penduduk bersabar sedikit masa lagi untuk membolehkan masalah itu diatasi," katanya.

Sumber: Sinar Harian