Mayat Raja Bhumibol Adulyadej Dibakar Pada 26 Oktober


BANGKOK – Mayat mendiang Raja Bhumibol Adulyadej akan dibakar pada 26 Oktober depan dan upacara itu akan berlangsung selama lima hari.

Pengesahan tarikh pembakaran mayat itu juga membolehkan rancangan dibuat untuk pertabalan secara rasmi anak mendiang, Raja Maha Vajiralongkorn yang menaiki takhta Disember lalu.

“Istana mengesahkan raja bersetuju dengan rancangan yang diatur kerajaan. Pembakaran mayat akan berlangsung pada 26 Oktober,” kata Timbalan Perdana Menteri, Wissanu Krea-ngam kepada wartawan.

Bhumibol mangkat pada Oktober 2016 pada usia 88 tahun selepas lebih 70 tahun berada di atas takhta dan menjadi tokoh penyatuan rakyat negara itu.

Pegawai berkata, upacara pembakaran mayatnya akan diadakan secara besar-besaran sesuai dengan kedudukan mendiang sebagai raja yang disayangi rakyat.

Bagaimanapun, peruntukan untuk majlis itu yang dijangka menarik ramai orang, tidak didedahkan.

Penganut Buddha negara itu biasanya menunggu sehingga seminggu atau lebih sebelum membakar mayat anggota keluarga mereka. Namun, bagi keluarga diraja, tempoh itu lebih lama.

Kali terakhir upacara pembakaran mayat anggota keluarga diraja Thai ialah pada 2008, untuk kakak Bhumibol, Puteri Galyani Vadhana.

Mayatnya dibakar selepas perkabungan selama 100 hari.

Tempat pembakaran mayat Bhumibol di sebuah dataran awam di Bangkok sedang disiapkan. – Reuters