Melaka United Buka Pintu Rundingan Lepaskan Amri Yahyah


MELAKA – Melaka United masih membuka pintu rundingan berhubung melepaskan penyerang kebangsaan Mohd Amri Yahyah kembali ke pasukan asalnya Selangor pada jendela perpindahan pemain pada Mei ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan khabar angin yang tersebar mengenai pelepasan pemain berpengalaman itu untuk kembali bersama pasukan The Red Giants.

Beliau berkata, perbincangan lanjut sedang diatur bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal berkaitan perpindahan itu yang dibuat atas semangat persahabatan dalam arena bola sepak selain mengambil kira hasrat pemain itu untuk mengakhiri kariernya di negeri kelahirannya.

“Memang terdapat usaha pihak berkenaan yang mahu mendapatkan Mohd Amri balik ke Selangor dan kami terbuka menerima hasrat mereka untuk membawa beliau (Mohd Amri) kerana aura yang dimilikinya yang memulakan kerjaya bola sepak di negeri itu.

“Ini mungkin penyelesaian terbaik yang memberi situasi menang-menang kepada semua pihak dalam merencana perjalanan pasukan masing-masing pada baki saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan jersi kepada pasukan bola sepak wanita Melaka United di Stadium Hang Jebat, di sini semalam.

Mohd Yusoff yang juga Pengurus Melaka United berkata bagaimanapun pemain yang mesra digelar ‘Wak Am’ itu masih lagi merupakan sebahagian pasukan Sang Kancil sehingga kontraknya terlerai.

“Sejujurnya Melaka United masih memerlukan beliau dan kami juga sayangkan Mohd Amri. Meskipun agak keberatan melepaskannya namun kami bersedia memberi laluan kepadanya untuk kembali bersama Selangor,” katanya.

Terdahulu Mohd Yusoff menyerahkan jersi kepada 20 pemain skuad bola sepak wanita Melaka United yang bakal menyertai Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah kali ke-30 yang berlangsung di Miri, Sarawak pada 8 hingga 17 April depan.

Sementara itu, Mohd Amri, 36, ketika ditemui berkata beliau menyerahkan segala keputusan kepada pihak pengurusan dan membiarkan perkara itu dibincang oleh MUSA dan FAS.

Namun katanya, sebagai pemain beliau tetap akan menjalankan tugas dan akan terus berbakti kepada Melaka United atau mana-mana pasukan selagi khidmatnya diperlukan.

“Saya sendiri tidak mengetahui perkara itu (perpindahan) dan hanya menyedarinya menerusi pertanyaan daripada pelbagai pihak yang diterima dalam aplikasi WhatsApp malam tadi.

“Tidak dinafikan, saya sememangnya pernah menyatakan hasrat untuk bersara di Selangor sebelum ‘menggantung but‘ daripada dunia bola sepak,” kata pemain berasal dari Tanjung Karang itu.

Mohd Amri pernah menjulang piala AFC, tiga kejuaraan Liga Super berturut-turut dan Piala FA bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), serta dua trofi Piala Malaysia, dua kejuaraan Liga Super serta tiga Piala FA sepanjang 12 tahun bersama Selangor. – BERNAMA