Mereka Tak Suka Pembangunan Supaya Boleh Jadikan Isu Hentam Kerajaan


KUALA KEDAH - Segelintir pihak pembangkang di negeri ini sememangnya suka mengambil kesempatan atas masalah yang dihadapi rakyat dan kemudian memesongkan fikiran mereka untuk membenci kerajaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihak berkenaan tidak suka pada pembangunan yang berlaku di negeri itu kerana mereka boleh menjadikan modal tersebut sebagai isu untuk menghentam kerajaan.

"Pihak pembangkang memang tidak suka pembangunan berlaku, supaya ia boleh dijadikan isu untuk mereka canang.

"Bagi mereka, kalau ada pembangunan, rakyat tidak akan sokong mereka. Jadi saya berharap rakyat tidak cepat terpengaruh dan tertipu dengan agenda pembangkang," kata Menteri Besar itu dalam sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada masyarakat nelayan di pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini semalam.

Tegas Ahmad Bashah, pihak Kerajaan Negeri sebenarnya sentiasa bersifat telus serta tidak mengabaian kebajikan golongan nelayan biarpun mereka tinggal di kawasan yang dikuasai pihak pembangkang.

Sebagai contoh katanya, kawasan Kuala Kedah tetap menerima limpahan kemakmuran pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) meskipun kawasan berkenaan dikuasai oleh pihak yang suka menimbulkan kebencian rakyat kepada pihak kerajaan dan pemimpinnya.

Jelas beliau lagi, Kuala Kedah tetap tidak terpinggir dari arus pembangunan apabila Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui pelbagai bantuan serta inisiatif menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta persatuan nelayan.

"Saya harap, apabila sampai masanya nanti, rakyat di Kuala Kedah dapat membuat pilihan tepat dan jangan mendengar janji-janji yang hanya dibawa lima tahun sekali.

"Janganlah kerana guruh di langit, kita buang segala-galanya, sedangkan BN terbukti membela nasib rakyat selama ini," katanya beliau.

Selain itu, Ahmad Bashah turut mengharap agar masyarakat setempat supaya tidak lagi mengulangi kesilapan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas kerana tindakan untuk percaya pada dakyah pembangkang ternyata hanya merugikan mereka.

"Banyak perancangan  yang dirangka kerajaan negeri dan persekutuan untuk rakyat mengikut kawasan.Tetapi sekiranya kita hilang kuasa, segalanya hanya akan tinggal perancangan.

"Sebab itu, saya amat berharap rakyat dapat beri keyakinan kepada kerajaan sedia ada, dan apabila adanya titik perhubungan yang kuat antara kerajaan negeri dan pusat, limpahan pembangunan dan nikmat akan dirasai di Kedah," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ahmad Bashah turut meminta para petani atau golongan nelayan di kawasan berkenaan supaya tidak perlu bimbang dengan pembangunan yang akan dijalankan di kawasan mereka dan tidak terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu.

"Kita akan beri keutamaan kepada mereka, sekiranya projek itu kena tempat tinggal mereka, kita akan bayar pampasan atau sediakan tempat tinggal baru.

"Kalau tepi laut, nelayan perlukan jeti... kita sediakan jeti. Jadi rakyat diharap tidak menyekat pembangunan," kata beliau, dipercayai merujuk kepada projek pembangunan Aman Laut yang kini dijadikan modal pembangkang untuk mencetus rasa tidak puas hati rakyat kepada kerajaan.

Justeru itu tegas Ahmad Bashah, masyarakat dinasihati agar tidak mempedulikan hasutan pembangkang yang tidak mahu sebarang pembangunan di kawasan mereka. -Kedahnews.com