Mukhriz Kecewa Litar Lumba Tidak Mewah, Hanya "Biasa-Biasa" Saja


ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kecewa dengan keputusan Kerajaan Negeri Kedah yang mahu membina sebuah litar lumba yang bertaraf 'biasa-biasa' berbanding kemahuannya yang mahu membina sebuah litar lumba yang gah, bertaraf antarabangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam itu berkata, beliau mahu kerajaan negeri membina sebuah litar lumba yang hampir setaraf dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) supaya Kedah mampu menjadi 'feeder' kepada penyediaan bakat baru pada masa yang akan datang.

"Kita hendakkan satu litar lumba yang bertaraf antarabangsa yang boleh dianjurkan perlumbaan yang menjadi 'feeder' kepada litar lumba Sepang.

"Tapi pada hari ini kita nampak macam dia nak buat litar lumba biasa-biasa saja. Ini mengecewakan," kata Mukhriz dalam satu sidang media Adun pembangkang yang diadakan sejurus Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah ditangguhkan, di sini hari ini.

Sebelum itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Aminuddin Omar menjelaskan kepada anggota Sidang Dun Kedah bahawa litar lumba yang bakal dibina pada tahun ini dan menepati spesifikasi antarabangsa, selain mampu menganjur kejohanan bertaraf dunia seperti F3.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah turut menjelaskan bahawa tidak ada keperluan di negeri ini untuk membina sebuah litar lumba yang terlalu hebat dan menelan belanja besar sehingga RM70 juta hingga RM80 juta seperti kemahuan Mukhriz.

Jelas beliau, anak muda di Kedah sebenarnya mahukan sebuah litar lumba yang praktikal dan membolehkan mereka berlumba mengasah bakat mereka di situ, serta tidak melibatkan bayaran yang tinggi seperti di SIC.

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri juga bimbang sekiranya dibina litar lumba yang terlalu berprestij seperti SIC, kos penyelenggaraannya bakal melibatkan jumlah yang tinggi dan pihak bertanggungjawab terhadap litar itu akan mengenakan yuran yang tinggi kepada pengguna.

"Kita bimbang ini akan membebankan anak muda yang mahu menggunakan litar lumba itu," tegas Menteri Besar Kedah.

Jelasnya, hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk membina sebuah litar lumba yang menepati spesifikasi antarabangsa, namun bertaraf sederhana yang menyediakan kemudahan yang mampu dibayar oleh anak muda di negeri ini yang berminat dengan sukan permotoran tersebut.

Mengulas mengenai pertikaian Mukhriz yang tidak mahu kos pembinaan litar lumba itu dibiayai oleh Kerajaan Negeri melalui pulangan premium tanah Hotel St. Regis di Langkawi, Ahmad Bashah menegaskan bahawa projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Tegas beliau lagi, Kerajaan Negeri menolak cadangan Kerajaan Pusat untuk menggunakan pembayaran premium tanah hotel bertaraf enam bintang itu kerana ia merupakan hasil pendapatan kerajaan negeri. - Kedahnews.com