Muktamar PAS Ke-63: Abdul Hadi Fail Saman Terhadap Pengasas Sarawak Report

Clare Rewcastle Brown (kanan)
ALOR SETAR - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memfailkan saman fitnah ke atas Pengasas dan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi London, pada 21 April lalu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata saman terbabit difailkan peguam Abdul Hadi, Carter-Ruck, bagi mendapatkan perintah injuksi dan ganti rugi berhubung artikel di laman web terbabit bertajuk 'As Najib Denies All Over 1MDB, Let's Not Forget His Many Other Criminal Connections' yang disiarkan pada 6 Ogos 2016.

Beliau berkata, tindakan dibuat apabila artikel terbabit menuduh Presiden PAS secara peribadi menerima atau mendapat atau meluluskan penerimaan sejumlah besar rasuah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai pertukaran untuk kompromi dalam hal pendirian politik parti Islam.

"Segala tohmahan adalah tidak benar yang jelas merosakkan dan menjejaskan reputasi Presiden PAS yang amat komited dengan proses demokrasi sejak sekian lama, di mana falsafah politik dan tindak-tanduk beliau jelas berpegang teguh kepada prinsip Islam.

"Mengambil kira fitnah yang amat berat, Presiden melantik peguam bagi meminta artikel terbabit dibuang dan menyiarkan permohonan maaf, tetapi Clare gagal memberi respon malah menyiarkan beberapa lagi kenyataan awam yang merumitkan keadaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63 di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut di sini semalam.

Takiyuddin berkata, Presiden PAS tidak akan membiarkan tohmahan fitnah berlalu begitu sahaja tanpa dicabar kerana ia menjejaskan nama baiknya.

"Tindakan saman bagi membetulkan keadaan yang jelas teruk menjejaskan reputasinya di Malaysia, Singapura, England dan Wales," katanya.

Sumber: BH Online