Muktamar PAS Ke-63: DAP, PAN Perlu Ikut Islam Jika Mahu "Kahwin" Dengan PAS


ALOR SETAR – Pakatan Harapan khususnya DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) perlu patuh kepada kepimpinan Islam sekiranya mereka mahukan kerjasama dari PAS untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin menegaskan bahawa syarat itu terlalu mudah untuk dipatuhi mereka memandangkan PAS tidak berhasrat untuk memegang jawatan tinggi dalam kerajaan termasuk kerusi Perdana Menteri asalkan mereka mengutamakan Islam.

"Andainya DAP, Parti Amanah Negara (PAN) atau pun mana-mana parti bersedia mengikut syarat yang kita letak maka tak ada sebab kenapa kita tolak. Kita boleh beri kerjasama, sampai sekarang ini masih terbuka.

"Syarat itulah yang penting, Islam mesti memimpin, apa yang Tuhan nak kita buat (sebagai khalifah). Bukan kita nak jadi orang besar, perdana menteri, menteri-menteri atau wakil rakyat… tapi apa yang penting siapa saja yang buat (memimpin) mestilah mengutamakan Islam," tegas beliau dalam sidang media sejurus merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat, di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini hari ini.

Hashim berkata, PAS sentiasa membuka ruang kepada mana-mana parti untuk bertahaluf siyasi, namun syarat tersebut perlu dipatuhi terlebih dahulu ekoran pengalaman lalu yang memberikan igauan buruk bagi parti Islam itu.

Beliau berkata, tahaluf siyasi PAS dengan mana-mana parti politik adalah bersandarkan ia membawa kebaikan kepada rakyat, namun pengalaman lalu juga telah mengajar PAS supaya lebih berhati-hati selepas ini, khususnya berdepan dengan DAP dan PAN.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Hashim menyeru kepada semua ahli PAS untuk menerima sesiapa saja yang merupakan bekas anggota parti yang mahu kembali bersama parti tersebut.

Menggunakan analogi "menumpang kapal", beliau turut meminta supaya semua pihak memaafkan golongan tersebut yang sebelum ini pernah "terlajak" dalam membuat keputusan politik.

“Saya kira ada antara mereka yang dulunya bersama kita kemudian lari daripada kita, dia nampak di depan laut, di belakang musuh. Kalau dia minta nak tumpang kapal kita, maafkanlah segala kesilapan, segala kealpaan perkara-perkara yang terlajak,"

Hashim pagi ini merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS di dewan utama, Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut yang dihadiri oleh para kepimpinan dan perwakilan PAS dari seluruh negara. - Kedahnews.com