Muktamar PAS Ke-63: Dewan Ulama Sebulat Suara Usul Putus Hubungan Dengan PKR


ALOR SETAR - Dewan Ulama PAS yang bersidang di Muktamar PAS kali ini membuat pendirian untuk mengemukakan usul agar kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diputuskan.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, persetujuan untuk mengemukakan usul itu kepada Dewan Syura Ulama PAS dipersetujui secara sebulat suara.

Jelas beliau, keputusan tersebut dibuat berdasarkan tindakan dan kenyataan PKR yang sebelum ini difahamkan telah melanggar syarat-syarat tahaluf siyasi dengan PAS.

"Menyedari bahawa PKR telah melanggar begitu banyak syarat-syarat Tahaluf Siyasi dengan PAS maka Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat yang bersidang pada 27hb April 2017 bersetuju untuk mengusulkan agar Tahaluf Siyasi antara PAS dan PKR diputuskan," katanya.

Namun begitu, Mohd Khairuddin menjelaskan bahawa ia adalah tertakluk kepada keputusa dari Majlis Syura bersandarkan kepada peruntukan di dalam perlembagaan parti iyu.

"Tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulama menurut peruntukan perlembagaan PAS," katanya mengulas mengenainya.

Dewan Ulama PAS hari ini bersidang bersempena Muktamar PAS kali ke-63 bertempat di Muktamar Dewan Ulama PAS di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Tandop, di sini hari ini. - Kedahnews.com