Muktamar PAS Ke-63: Mahfuz Tak Hadir Kerana Tak Dapat Jemputan?


ALOR SETAR - Ketiadaan kelibat Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, yang dikatakan langsung tidak kelihatan hadir ke Muktamar PAS kali ke-63 yang sedang hangat berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini menimbulkan tanda tanya.

Mahfuz yang merupakan bekas Yang DiPertua PAS Kawasan Pokok Sena itu sebelum ini mendakwa tidak tahu tentang Muktamar PAS berlangsung pada penghujung April dan menyangka ia hanya berlangsung pada Jun tahun ini.

Ekoran itu beliau memutuskan untuk tidak hadir pada Muktamar PAS pada April dan mengatakan hanya akan hadir sekiranyanya berlangsung pada Jun ini.

Namun begitu, Mahfuz kemudiannya difahamkan mengubah pendirian dan menyatakan hasrat untuk hadir ke Muktamar PAS yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah ini.

Terbaru menurut sumber rakan media yang rapat dengan beliau menjelaskan bahawa Mahfuz memutuskan untuk tidak hadir ke Muktamar PAS kali ini ekoran tidak menerima sebarang jemputan dari partinya.

Sumber itu mengatakan bahawa Ahli Parlimen PAS itu kini sedang berada di ibu negara, namun akan mengadakan majlis makan malam beliau bersama media pada malam ini di sebuah restoran di Kuala Kedah, di sini.

Mahfuz sebelum ini beberapa kali digesa kepimpinan PAS supaya keluar dari parti sekiranya beliau tidak berpuas hati dengan keputusan atau tindakan pucuk pimpinan PAS Pusat, khususnya berhubung pendirian untuk tidak menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan.

Walau bagaimanapun, Mahfuz enggan keluar dari PAS dan mendakwa bahawa dirinya tetap sayang pada parti yang dianggotai selama berpuluh tahun itu.

Difahamkan juga bahawa Mahfuz sering melemparkan kritikan-kritikan pedas secara terbuka terhadap PAS dan pucuk pimpinan terutama Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mencetus kemarahan ahli serta kepimpinan parti. - Kedahnews.com