Muktamar PAS Ke-63: Pakatan Harapan Jangan Ganggu Kerusi PAS..!


ALOR SETAR - PAS memberi amaran kepada parti-parti di dalam Pakatan Harapan supaya jangan sesekali mengganggu kerusi-kerusi yang bakal ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa Pakatan Harapan mempunyai lebih 100 kerusi untuk direbut pada pilihan raya nanti dan mereka perlu memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi tersebut.

"Kalau mereka tidak mengganggu kerusi PAS, dan beri tumpuan kepada kerusi lain, saya ingat tiada masalah. Yang pentingnya jangan ganggu kerusi PAS dan mereka masing-masing ada 100 lebih kerusi yang perlu diberi tumpuan.

"Jangan ganggulah kerusi-kerusi PAS," tegas beliau memberi amaran kepada PKR, Parti Amanah Negara (PAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP yang menguasai blok utama pembangkang itu.

Justeru itu tegas beliau, Pakatan Harapan jangan mengganggu mana-mana kerusi PAS pada PRU ke-14 sekiranya mereka benar-benar serius untuk mengelak pertembungan tiga penjuru.

Mengulas mengenai Parti Amanah Negara (PAN) yang dilihat akan bertanding di kerusi-kerusi yang ditandingi PAS nanti, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa tindakan itu akan mengganggu matlamat pembangkang untuk menang pada PRU nanti.

"PAN ganggu semua (pihak) di seluruh negara, dia akan merosakkan segala.." ujar beliau.

Selain itu, beliau turut menolak dakwaan yang mengatakan PAS bersendirian dalam menghadapi PRU ke-14 dan menegaskan bahawa parti itu konsisten untuk terus mengepalai blok ketiga pembangkang, Gagasan Sejahtera, yang dibina bersama Parti Ikatan.

Tuan Ibrahim membuat kenyataan tersebut dalam sidang media sejurus selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-58, di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Pemuda PAS yang tidak mempertahankan jawatan, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz, dan Timbalan Ketua Pemuda PAS yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua Pemuda PAS penggal baru, Muhammad Khalil Abdul Hadi. - Kedahnews.com