ALOR SETAR – PAS mencabar golongan “harum manis” yang masih berselindung di dalam parti tersebut untuk bertanding dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS pada Muktamar kali ke-63 yang sedang hangat berlangsung di Kompleks PAS Kedah, di sini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, golongan yang dilihat sebagai “harum manis” ini perlu menunjukkan kehebatan mereka dari menjadi duri dalam daging di dalam parti itu.
Tegasnya, cabaran itu adalah lebih baik berbanding tindakan mereka yang sering mengeluarkan kenyataan menghentam, bercanggah serta mengkritik PAS dan institusi Presiden parti berkenaan.
"PAS memasang hajat yang sangat tinggi supaya mereka ini (harum manis) bertanding di peringkat masing-masing, sama ada di kawasan, dewan mahu pun jawatan Presiden.
"Kita nak tengok mereka ini garang atau tidak kerana di Parlimen dan menerusi saluran lain sering buat provokasi.” ujarnya dalam satu kenyataan media, di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, golongan “harum manis” ini juga akan "diharamkan" daripada mengganggu PAS sekiranya mereka kalah dan jika mereka masih berdegil maka tindakan tegas bakal dikenakan terhadap mereka.
"Sebab itu kita nak mereka bertanding dan jika kalah, jangan kacau parti lagi kerana kita akan ambil tindakan tatatertib," katanya.
Tambah beliau lagi, sikap golongan “harum manis” yang sentiasa mengkritik dan menabur pelbagai tomahan umpama mengabdikan diri untuk dikenakan hukuman terhadap mereka.
"Kita memang sengaja biar mereka begitu (tidak ambil tindakan tatatertib) kerana ia juga satu hukuman terhadap setiap tindak-tanduk sebelum ini," kata Takiyuddin.
Sebelum ini, PAS dilihat sering dikritik secara terbuka dan lantang oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, yang dikatakan tidak sehaluan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pendirian PAS yang terkini.
Difahamkan, Mahfuz tidak berpuas hati dengan keputusan PAS untuk tidak menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.
PAS sebelum ini mengumumkan berpegang pada prinsip untuk tidak mengejar kemenangan politik, sebaliknya kembali ke perjuangan asal parti itu untuk mencari redha Allah dalam perjuangan politiknya.
Parti itu turut menegaskan bahawa kemenangan pada pilihan raya tidak membawa sebarang erti sekiranya tidak diredhai Allah dan membenarkan percaturan politik di negara ini menjejaskan kepentingan Islam. – Kedahnews.com