Muktamar PAS Ke-63: PAS Kedah Luah Simpati Kepada Mangsa Ribut


ALOR SETAR - Pihak Panitia Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 meluahkan rasa simpati ke atas mangsa-mangsa bencana ribut kencang yang melanda di kawasan Kompleks PAS Kedah, lewat petang semalam.

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dr Ahmad Fakruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, kejadian itu telah melibatkan beberapa buah khemah milik Kelab Usahawan Haraki PAS yang menempatkan beberapa agensi kerajaan dan persendirian.

"Seramai 11 daripada 17 orang mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

"Pihak Panitia Muktamar serta PAS Kedah ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat,  pegawai kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Medic Papisma dan St. John Ambulance yang telah membantu mangsa di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Petang semalam, Muktamar PAS yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah gempar apabila dilanda kejadian ribut kencang kira-kira jam 7 malam yang mengakibatkan beberapa khemah jualan ranap dan rosak selepas diterbangkan angin beberapa meter.

Walau bagaimanapun, Ahmad Fakruddin menjelaskan bahawa semua aturcara program Muktamar Tahunan Pas ke-63 yang telah disusun dan tidak melibatkan tapak ekspo akan tetap berjalan seperti biasa.

"Marilah kita mendoakan semoga dua hari tempoh muktamar yang berbaki berlangsung dengan aman dan sejahtera," ujarnya dalam kenyataan media itu. - Kedahnews.com