Muktamar PAS Ke-63: PAS Selangor Ikrar Taat Sebarang Keputusan PAS Pusat


ALOR SETAR - PAS Selangor hari ini melafazkan ikrar akan taat dan patuh kepada sebarang keputusan yang bakal ditentukan pucuk pimpinan tertinggi PAS Pusat, bersabit kedudukan mereka di dalam pentadbiran negeri susulan hubungan dengan PKR yang kian tegang.

Perwakilan PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, walaupun beberapa wakil rakyat PAS menganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri, namun mereka tetap berdiri teguh di belakang kepimpinan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Saya sebagai wakil Selangor ingin tegaskan bahawa kami saf kepimpinan, perwakilan seluruh Selangor, kita berdiri teguh di bawah kepimpinan PAS Pusat termasuk Majlis Syura Ulama.. apa saja keputusan kita akan akur dan kita akan patuh.

"Kalau kata maju ke depan, kita akan maju ke depan. Kalau kata undur, kita akan undur. Kita 'samikna wa atoqna' (kita dengar dan kita patuh) Takbir!," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada hari kedua Muktamar PAS Pusat Kali ke-63 di sini pagi tadi.

Zaidy juga merupakan salah seorang daripada tiga exco PAS di Selangor selain Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

 Kedudukan wakil PAS dalam pentadbiran Selangor di bawah teraju PKR timbul apabila Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution meminta semua Exco dari PAS meletak jawatan dari kepimpinan Kerajaan Negeri sekiranya berani memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Penasihat Strategik Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu berkata demikian susulan keputusan Muktamar Dewan Ulama PAS dan  Muktamar Dewan Pemuda PAS kelmarin yang meluluskan usul putus hubungan dengan PKR.

Usul yang diluluskan di peringkat sayap itu difahamkan akan dibawa ke peringkat PAS Pusat dan bakal dimuktamadkan oleh Majlis Syura Ulama parti itu.


PAS masih lagi sebahagian daripada pentadbiran Selangor, walaupun parti itu enggan menyertai Pakatan Harapan yang dikuasai DAP dan merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri.

Kepimpinan Parti Amanah Negara (PAN) Selangor dan DAP Selangor sebelum ini turut menggesa PAS Selangor supaya meletak jawatan dari semua jawatan di dalam Kerajaan Negeri itu ekoran pendirian PAS Pusat yang bertegas enggan lagi bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

PAS kini beristiqomah menubuhkan Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai blok ketiga pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Muktamar PAS kali ke-63 hari ini merupakan hari yang kedua menyaksikan para perwakilan tampil membahaskan ucapan dasar Presiden di sebelah pagi dan perbahasan usul hanya akan berlangsung selepas jam 5 petang ini. -Kedahnews.com