ALOR SETAR - Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan, menjelaskan bahawa pemilihan pimpinan PAS pada kali ini dijalankan dengan menggunakan sistem elektronik e-undi.
Sistem tersebut menjadi pilihan PAS kerana ia dilihat lebih mudah dan merupakan satu cara yang pantas berbanding sebelum ini.
Difahamkan bahawa keputusan rasmi undian tersebut pula akan diumumkan secara pada 1 Mei nanti.
"Namun keputusan rasmi hanya akan diumum pada 1 Mei. Kita yakin segala maklumat kemenangan calon akan disimpan rapi dan tidak dibocorkan sebelum hari pengumuman rasmi.
"Hanya ada empat individu saja yang terbabit dalam proses menjaga keputusan undian. Jika bocor, mereka inilah yang perlu dipertanggungjawabkan," katanya dalam sidang media, kelmarin.
Takiyuddin ketika ditemui pada sidang media menjelang Muktamar PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah, semalam berkata, sistem elektronik e-undi ini bakal menjamin tiada ketirisan mengenai maklumat calon dan pemenang.
Selain itu, Takiyuddin turut menjelaskan seramai 26 calon yang bertanding bagi merebut 18 tempat pada pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.
Antara calon-calon yang terlibat adalah 14 calon Pemuda PAS yang akan bertanding untuk mengisi 12 tempat sebagai AJK Pemuda PAS Pusat, sementara 16 calon bagi mengisi 12 slot Muslimat PAS, manakala tiada pertandingan bagi semua jawatan dalam Dewan Ulama PAS. – Kedahnews.com