Muktamar PAS Ke-63: Perdana Menteri Malaysia Wajib Melayu, Beragama Islam


ALOR SETAR - Dewan Ulama PAS hari ini sebulat suara mengusulkan kepada ahli-ahli Parlimen PAS untuk menggesa Kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan supaya jawatan Perdana Menteri hendaklah dipilih dari warganegara yang beragama Islam berbangsa Melayu.

Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, gesaan itu adalah tepat bagi melengkapkan syarat-syarat kepimpinan menurut ajaran Islam.

"Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-56  yang bersidang pada hari ini 27hb April 2017 mengusulkan agar PAS Pusat menerusi ahli-ahli parlimen PAS mendesak kerajaan Malaysia membuat pindaan Perlembagaan Malaysia supaya jawatan Perdana Menteri hendaklah hanya daripada kalangan warganegara muslim berbangsa Melayu yang melengkapi syarat kepimpinan dalam Islam," kata beliau, di sini hari ini.

Tegas Mohd Khairuddin, usul berkenaan diputus berdasarkan prinsip kepimpinan negara yang merupakan amanah bagi menegak dan mentadbir negara dengan berpandukan ajaran Islam sebagaimana disepakati oleh para fuqaha dan ilmuan Islam.

Katanya dalam konteks Malaysia, 60.4 peratus rakyat di negara ini adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam, sekaligus menetapkan syarat Perdana Menteri itu mesti dipilih dari pemimpin Melayu yang beragama Islam juga.

"Syarat kepimpinan tertinggi dalam Islam hendaklah di kalangan bangsa berpengaruh dihormati dalam sebuah negara sebagaimana yang difahami daripada syarat bangsa Quraisy sebagai syarat Khalifah dalam perbahasan para fuqaha dalam perbendaharaan siyasah Islam.

"Dalam konteks Malaysia 60.4 peratus rakyat Malaysia adalah daripada kalangan Muslim Melayu," jelas beliau.

Selain itu, pendirian itu juga dibuat berdasarkan kedudukan Perdana Menteri yang merupakan pemimpin nombor satu negara dan sejajar dengan artikel 153 yang memaktubkan tentang perihal hak keistimewaan Melayu serta kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Muktamar Dewan Ulama PAS yang berlangsung di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) hari ini dirasmikan serentak dengan Muktamar Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda PAS bersempena Muktamar PAS kali ke-63, di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini hari ini. - Kedahnews.com