Muktamar PAS Ke-63: Putus Dengan PKR, Tiga Kali Laungan "Setuju" Gegarkan Dewan


ALOR SETAR - Bergema dewan utama Kompleks PAS Kedah di sini sebentar tadi dengan laungan "setuju!" dari para perwakilan supaya Majlis Syura PAS segera memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

Pengerusi Tetap PAS Pusat, Hussin Ismail tiga kali meminta jawapan dari semua perwakilan yang hadir dan ketiga-tiga jawapan tanpa khilaf lagi mahu parti mereka memutuskan hubungan politik dengan sekutu kuat DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) itu.

Walau bagaimanapun, Hussin memaklumkan bahawa pendirian Muktamar PAS ke-63 itu perlu dirujuk kepada Majlis Syura Ulama PAS untuk dimuktamadkan pendirian rasmi parti berkenaan terlebih dahulu.

Terdahulu, usul yang menjadi tumpuan pelbagai pihak itu dibentang oleh wakil dari Dewan Ulama PAS Pusat, Zulkefli Ismail ,sebelum dibahas dan disokong penuh oleh perwakilan PAS Pasir Mas, Fadzli Shaari.

Zukifli menegaskan bahawa kerjasama PAS dengan PKR perlu diputuskan kerana PKR jelas bukanlah rakan yang boleh dipercayai sama sekali.

Tegasnya lagi, tindakan pembabitan PKR menyokong calon Parti Amanah Negara (PAN) dan menentang PAS dalam dua pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah bukti semangat setia kawan tidak dihormati.

"Kegagalan PKR untuk memberi sokongan yang baik kepada usaha PAS memperkasakan Mahkamah Syariah melalui Pindaan Akta 355 malah dilihat turut bersama dengan pendirian DAP yang menentang keras pindaan berkenaan.

"Selain itu, kenyataan pimpinan PKR secara terbuka yang jelas memperlihatkan keceluparan dan kebiadapan mereka terhadap PAS sekali gus tindakan mereka yang tidak menunjukkan setiakawan," katanya diikuti dengan laungan takbir dari perwakilan yang hadir.

Usul putus hubungan dengan PKR diletakkan dalam kategori usul diterima untuk dibahas bersama empat lagi usul.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di sini hari ini masuk hari kedua menyaksikan para perwakilan membahaskan ucapan dasar Presiden dan mula berbahas usul-usul muktamar. -Kedahnews.com