Muktamar PAS Ke-63: Suasana Sesak Di Kompleks PAS Kedah Selepas Dilanda Ribut


ALOR SETAR - Suasana Muktamar PAS kali ke-63 hari ini sejurus selepas dilanda ribut kencang semalam menyaksikan ramai pemerhati dan penyokong terpaksa berpanas dan berselerak mencari tempat berteduh bagi mendengar perbahasan para perwakilan.

Memandangkan kawasan yang dilanda ribut semalam terpaksa ditutup oleh Panitia Muktamar PAS dan pihak berkuasa, pengunjung yang hadir ke muktamar terpaksa mencari tempat duduk di sekitar Kompleks PAS Kedah itu ekoran tempat duduk yang disediakan penganjur penuh.

Selain itu, tinjauan Kedahnews.com pada jam 12.30 tengahari tadi mendapati berlaku kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira enam kilometer bagi kedua-dua arah.

Keadaan itu telah memaksa Unit Amal PAS yang bertugas hari ini bertungkus-lumus mengawal lalu lintas di jalan utama untuk mengatasi masalah berkenaan dalam cuaca yang panas terik.


Akibat kekurangan tempat meletak kenderaan, para pengunjung terpaksa meletak kenderaan jauh dari lokasi muktamar dan perlu berjalan kaki lebih dari dua kilometer untuk sampai ke Kompleks PAS Kedah.

Sementara itu, terdapat juga pengunjung yang merungut ekoran suasana yang kurang teratur muktamar kali ini selain ada di kalangan mereka yang meninggalkan Kompleks PAS Kedah itu lebih awal. -Kedahnews.com