Muktamar PAS: Muktamad, Tiada Kerjasama PAS Dengan PPBM

Model Kompleks PAS Kedah di Batu 9, Kota Sarang Semut.
ALOR SETAR - PAS langsung tidak akan membincangkan soal kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Muktamar PAS Ke-63 yang bakal bermula pada 29 April hingga 1 Mei ini kerana isu tersebut telah mendapat kata putus dari Majlis Syura.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Majlis Syura sebelum ini menetapkan pendirian muktamad PAS untuk tidak berhubung atau mengadakan perbincangan dengan PPBM kerana parti itu telah menyertai Pakatan Harapan, bukan Gagasan Sejahtera.

"Majlis Syura telah memberi pandangan, oleh kerana PPBM telah masuk dalam Pakatan Harapan, maka PAS tidak  boleh mengadakan hubungan dan perbincangan dengan mereka," katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Tegas Mohd Amar lagi, ekoran dari keputusan Majlis Syura itu maka usul berkenaan tidak perlu lagi dibawa ke Muktamar PAS yang difahamkan bakal berlangsung di Kompleks PAS Kedah di Batu 9, Kota Sarang Semut, di sini nanti.

Jelas Naib Presiden PAS itu, Majlis Syura berhak membuat keputusan mengenai isu tersebut.

"Itu keputusan muktamad, maka tidak  perlu bawa kepada muktamar, kerana ini keputusan yang boleh di buat di peringkat Majlis Syura sahaja," jelas beliau lagi.


PAS sebelum ini menolak gesaan PPBM dan PKR untuk menyertai Pakatan Harapan kerana memegang teguh pada pendirian "berpatah arang, berkerat rotan", tidak akan menjalin sebarang bentuk kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Sebaliknya, PAS mempelawa PPBM dan PAN untuk menyertai blok baru pembangkang, Gagasan Sejahtera, yang ditubuhkan parti itu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan, serta meninggalkan Pakatan Harapan yang dikuasai DAP.

Namun begitu, PPBM memandang sinis pelawaan PAS itu apabila dengan bangganya mengumumkan pendirian mereka untuk bersekongkol dengan DAP dan PAS, sekaligus menyertai Pakatan Harapan secara rasmi.

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad turut memberi tekanan kepada PAS dengan menyatakan pendiriannya yang sudah "tawar hati" untuk menjalin hubungan dengan PAS, selain "mengugut" parti itu dengan memberikan tempoh sebulan dalam usaha memaksa PAS menyertai Pakatan Harapan.

Walau bagaimanapun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa pihaknya tidak memerlukan tempoh sebulan itu dan serta merta membuat pendirian untuk tidak menjalin kerjasama dengan sekutu kuat DAP tersebut. -Kedahnews.com