NASA Siar Imej Waktu Malam Bumi Terkini Termasuk Malaysia


WASHINGTON DC – Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) menyiarkan imej terbaharu suasana planet bumi pada waktu malam julung kali sejak rakaman pada 2012 lalu.

Ia menggunakan satelit paling berkuasa iaitu Suomi NPP dan pengiraan algoritma komputer tercanggih sekali gus mampu memberi gambaran terbaik keadaan daratan pada waktu malam di seluruh dunia apabila hari gelap.

BENUA EROPAH
Grafik resolusi tinggi yang ditambah baik itu dijangka dapat membantu saintis antarabangsa membuat peta corak aktiviti penduduk, permintaan tenaga elektrik, perluasan kawasan perbandaran malahan laluan perkapalan.

NASA dalam kenyataan media turut memaklumkan agensi itu bakal menyiarkan imej terkini malam bumi setiap hari menjelang tahun depan berbanding sekarang yang mengambil masa lima tahun ekoran kemajuan teknologi.

AMERIKA SYARIKAT DAN MEXICO
Ini akan membolehkan penyelidik dapat melakukan kajian data semasa terutama untuk penilaian operasi bantuan kecemasan bencana alam dan pemantauan tahap penggunaan bekalan kuasa berdasarkan data hari-ke-hari.

Satelit Suomi NPP menggunakan Sut Radiometer Pengimejan Inframerah Boleh Dilihat atau VIIRS yang dapat merakam susana malam pada resolusi tertinggi dan berupaya mengesan cahaya foto dalam 22 gelombang berbeza.

“Terima kasih VIIRS, kita kini boleh pantau perubahan muka bumi termasuk konflik perang, gempa bumi, bencana dan sebagainya,” kata pasukan penyelidik NASA di Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Goddard, Miguel Román.

MESIR DAN SEBAHAGIAN TIMUR TENGAH
Lebih unik, satelit terbaharu NASA berkenaan dilaporkan mampu mencerap foto setiap inci lokasi di bumi waima tempat terpencil sebanyak dua kali sehari dengan imej yang meliputi kawasan seluas 3,000 kilometer panjang.

Ini kerana kamera digunakan VIIR itu membolehkan ia menyisih cahaya malam dengan resolusi ruang enam kali lebih baik dan 250 kali lebih baik untuk paras cahaya resolusi berbanding beberapa satelit lama digunakan NASA.

Berdasarkan imej terbaharu itu, Malaysia kelihatan bercahaya di beberapa kawasan antaranya Lembah Klang, Seremban, Melaka, Ipoh, Pulau Pinang, Pulau Langkawi selain ibu negeri Pantai Timur di Semenanjung Malaysia.


Ia sekali gus menggambarkan kegiatan waktu malam yang aktif di bandar-bandar besar apabila dilimpahi cahaya neon manakala kawasan yang agak gelap sebenarnya merupakan hutan tebal dan tempat kurang penduduk.

Senario sama turut dapat disaksikan di seluruh dunia dengan kota-kota utama di negara-negara maju tampak begitu bercahaya dibandingkan suasana malam negara-negara mundur yang cukup gelap. – Agensi