Nike USA Reka Kit Jersi Khas Untuk JDT


KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menerima kit jersi yang direka khas oleh Nike mulai tahun 2019.

Presiden JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkata, kit jersi tajaan Nike itu direka khas oleh Ibu Pejabat Nike di Amerika Syarikat.

“JDT akan menjadi kelab pertama di Asia Tenggara yang menerima kit jersi tajaan Nike yang direka khas oleh Ibu Pejabat Nike,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta orang ramai tidak menilai JDT berdasarkan aspek kejayaan.

Beliau yang juga pemilik JDT sebaliknya meminta orang ramai menilai berapa kali JDT bangkit semula selepas mengalami kejatuhan.

Kenyataan Tunku Ismail itu dipercayai merujuk kepada kejayaan JDT menumpaskan pasukan Melaka United 7-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Larkin semalam.

Kemenangan besar itu sedikit sebanyak melegakan penyokong JDT berikutan prestasi tidak menentu pasukan itu sejak dibawah kendalian jurulatih Benjamin Mora. -Kedahnews.com