Op Noda: 17 GRO Warga Asing Ditahan Di Ipoh

Gambar Hiasan
IPOH – Polis menahan 17 gadis warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam Op Noda menerusi dua serbuan berasingan di sini kelmarin.

Dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, diketuai Inspektor Nuraini Abu Hassan, polis turut menahan dua lelaki warga tempatan yang masing-masing pemilik premis berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata dalam serbuan pertama di sebuah pusat hiburan di Taman Cempaka kira-kira 6.30 petang, seramai tiga wanita warga Vietnam ditahan.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, kesemua mereka dipercayai sedang menunggu pelanggan dan mereka ditahan di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, ” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Sementara itu, Gan berkata dalam serbuan kedua di sebuah pusat urut kaki di Jalan Seenivagam pada 11.50 malam, seramai 11 wanita warga China dan tiga wanita warga Vietnam ditahan.

Gan berkata hasil pemeriksaan ke atas kesemua 17 wanita berkenaan yang berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun mendapati mereka tidak mempunyai permit kerja yang sah.

“Pemeriksaan juga mendapati hanya tujuh sahaja yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Gan berkata kesemua wanita berkenaan kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1963 kerana tidak mempunyai pasport yang sah.

Tambahnya enam lelaki warga tempatan yang juga pelanggan di pusat urut kaki ditahan untuk membantu siasatan.

“Dua pemilik premis juga disiasat untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 55B kerana menggaji pekerja asing tanpa pas dan permit yang sah,” katanya. – BERNAMA