PAN Baling Tuduh PAS Fitnah Sebab Tergugat

Gambar Abdul Wahab (duduk, kanan) dan Nik Muhammad (dua, kanan) di kedai makan tular di media sosial.
ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (PAN) Baling mendakwa PAS sengaja menabur fitnah terhadapnya gara-gara merasakan parti mereka tergugat dan takut semakin ramai ahlinya menyertai parti baru itu.

Ketua PAN Kawasan Baling, Mohd Rosli Abu Bakar berkata, tidak timbul isu anggota dari kawsan tersebut keluar parti demi sertai PAS, beliau turut mendakwa tindakan PAS itu sekadar satu cubaan  memfitnah kerana tergugat dengan kehadiran PAN di kawasan tersebut.

“Kenyataan itu adalah fitnah, PAS cuba memberi gambaran tidak baik kepada PAN sedangkan perkara yang digembar-gemburkan itu tidak berlaku.

“PAS berasa tergugat dengan PAN Baling, mereka bimbang apabila ahlinya  berhijrah kepada PAN. Kerana itu mereka buat kenyataan tidak betul,” katanya.

Selain itu, Mohd Rosli turut menafikan dakwaan PAS yang mendakwa seorang bendahari dari parti serpihan PAS itu keluar parti dan sertai parti Islam tersebut.

Menurutnya lagi, tindakan PAS yang menyebarkan cerita tidak batul tersebut menggambarkan betapa parti Islam itu kini ketandusan isu dalam usaha mereka untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat serta pengundi.

Tegasnya, bendahari PAN yang dimaksudkan itu sama sekali tidak menyertai PAS dan usaha parti Islam itu menyebarkan persepsi didorong oleh perasaan takut anggota mereka meninggalkan parti, lantas menggugat kedudukan mereka.

Walau bagaimanapun, Mohd Rosli berkata, tidak akan meminta PAS memohon maaf atau mengambil sebarang tindakan terhadap fitnah yang dilemparkan PAS tersebut.

Sebaliknya, PAN hanya akan mengambil langkah memperjelaskan setiap pertuduhan dengan cara yang berkesan.

“Kita tidak akan minta mereka mohon maaf atau ambil apa-apa tindakan, setiap tuduhan akan kita jelaskan dengan baik,” katanya lagi.

Terdahulu, melalui sebuah akaun Facebook Ketua Urusan Ulama PAS Kawasan Baling yang dipercayai milik Marzuki Yusof, menyebut seorang bendahari telah menyertai PAS.

Kenyataan di laman sosial tersebut turut disertakan beberapa keping gambar.

Difahamkan bahawa bendahari yang dimaksudkan Marzuki adalah Abdul Wahab Che Din yang sebelum ini dilihat begitu aktif bersama PAN Baling.

Namun timbul perbagai persoalan apabila Abdul Wahab turut kelihatan pernah bersama Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh dalam program Hi-Tea Bersama Mursyidul Am PAS.

Namun begitu, PAN menjelaskan bahawa kehadiran Abdul Wahab dalam program PAS hanya sekadar atas kapasiti sebagai seorang mudir pusat kebajikan dan hanya sekadar memenuhi jemputan. – Kedahnews.com