PAN Minta Mahfuz Bersabar Hadapi Tekanan PAS


ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (PAN) menasihat dan meminta  Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar agar sentiasa bersabar dan sentiasa tabah dalam menghadapi tekanan dari PAS terhadapnya.

Penasihat Umum PAN, Ahmad Awang berkata, Mahfuz memilih untuk terus bersama PAS dan tidak mahu menyertai PAN kerana percaya masih ada harapan jika bersama parti Islam itu.

Namun kini katanya, Mahfuz sendiri seperti dianaktirikan kepimpinan PAS, manakala penyokong parti itu juga seolah-olah tidak menganggap beliau adalah sebahagian daripada pemimpin atau ahli parti berkenaan.

"Ketika kami (ahli PAN) memilih untuk bergerak dengan bahtera baru, beliau membuat keputusan untuk terus kekal bersama PAS kerana yakin masih ada sinar perubahan di situ.

"Malangnya muktahir ini, beliau sampai tahap tidak diakui sebagai ahli pemimpin tertinggi parti beliau sendiri," katanya dalam satu kenyataan.


Walau bagaimanapun, PAN tidak memaksa dan sentiasa menghormati segala keputusan dan pilihan yang dibuat oleh Mahfuz selain menegaskan bahawa mereka masih mempunyai hubungan yang baik dengan beliau.

"Kami menghormati keputusan beliau dan ukhuwwah tidak akan terpisah kerana perbezaan parti ini," katanya lagi.

Sebelum ini, Mahfuz mengeluarkan kenyataan bahawa beliau langsung tidak dimaklumkan dan tidak diberitahu mengenai  Muktamar Tahunan Pas ke-64 yang dijadualkan berlangsung 28 April hingga 1 Mei ini.

Disebabkan itu, beliau beranggapan bahawa muktamar tahun ini akan berlangsung pada Jun ini, namun begitu beliau mengakui bahawa dirinya masih lagi ‘berdarah’ PAS dan hanya akan hadir muktamar pada Jun ini. – Kedahnews.com