PAN, PKR Kedah Dakwa Aman Laut Beri Impak Negatif

Dr Ismail (empat, kiri) dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew (tiga, kanan) berjumpa dengan Zohdi (empat, kanan) bagi membincangkan isu terbabit di Pejabat MBAS.
PROJEK pembangunan bercampur di Aman Laut dikhuatiri memberi kesan negatif kepada hasil laut berdekatan pinggir laut, selain merubah demografi kawasan sekitar yang dihuni lebih 250 keluarga nelayan.

Berdasarkan Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), projek berkeluasan 49.4 hektar itu merupakan projek tebus guna laut dan dijangka menjadi sebuah perbandaran baharu, yang menawarkan banglo mewah, kondominium, pusat beli-belah serta komersial.

Wakil nelayan Kampung Tepi Laut, Yusuf Mat Zain, 54, berkata, penduduk tempatan tidak menghalang pembangunan dilaksanakan, namun projek dirancang perlulah mempertimbangkan nasib nelayan.

“Kami menyokong pembangunan dan sedar perlaksanaan projek terbabit berkemungkinan mengubah kehidupan nelayan, namun malangnya keadaan makin teruk.

“Bila kerja menambak laut dilakukan, kebanyakan penduduk yang mendiami kawasan Sematang Pinang, Kubang Rotan dan Seberang Kota langsung tak dapat cari rezeki, sedangkan penduduk bergantung hidup sebagai nelayan tepi pantai yang menjadi amalan tradisi sejak lebih 70 tahun lalu," katanya.

Menurut Yusuf, lebih 250 keluarga nelayan itu mencari kepah, lala, mentarang, ketam dan kerang di tepi laut sebagai sumber pendapatan keluarga masing-masing.

Bagaimanapun katanya, penduduk semakin sukar memperoleh hasil laut di tepi pantai itu apabila kerja menambak tanah giat dilaksanakan pihak berkenaan.

"Pihak terbabit bersetuju bantu penduduk dalam satu pertemuan Januari lepas, tapi mereka bimbang sekadar janji kosong bila operasi menambak diteruskan seperti biasa.

"Sebab itu penduduk merayu agar pihak berkenaan tidak memandang sebelah mata memandangkan mereka hidup susah dan kini hilang punca pendapatan," katanya.

Justeru katanya, pihak berkenaan diminta mencari alternatif bagi menggantikan hak yang diambil, sekali gus memastikan pusat pendaratan ikan disiapkan nanti tidak menggunakan orang tengah agar nasib nelayan tidak terpinggir.

Ekosistem turut terjejas


Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, pembangunan itu memberi kesan besar kepada penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut seperti kerang, ketam, mentarang, kepah dan lala.

Menurutnya, pihak mereka tidak menolak pembangunan, sebaliknya mahu memastikan alam sekitar dan sumber laut terpelihara disebabkan pembangunan itu kelak menjejaskan demografi sekitar.

Katanya, walaupun pembangunan bercampur dipertingkatkan di Kuala Kedah dalam usaha meningkatkan pendapatan penduduk, namun sesetengah mereka yang mencari rezeki sebagai nelayan darat menerima kesan akibat pembangunan.

“Kita sekadar beri peringatan awal supaya apa yang berlaku di negeri lain tak berlaku di Kedah. Kepentingan nelayan darat perlu diambil kira supaya sumber pendapatan mereka tidak terjejas,” katanya.

Azman berkata, selain impak terhadap alam sekitar, pembangunan Terminal Bersepadu Perikanan Kedah berdekatan juga diharap tidak memusnahkan ekosistem dan menguntungkan masyarakat setempat.

Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh turut menyifatkan Aman Laut umpama ‘Dubai Malaysia’ setelah siap sepenuhnya nanti.

Bagaimanapun katanya, jawatankuasa bertindak perlu ditubuhkan bagi memastikan nasib lebih 250 keluarga nelayan terjamin.

Tambahnya, Datuk Bandar perlu mempertimbang dan ambil kira aspek terbabit memandangkan nelayan pasti terkesan dalam pelaksanaan pelan komprehensif itu.

Sumber: Sinar Harian