PAN Suruh PAS Fokus Bertanding Di Dua Negeri Sahaja


ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (PAN) menggesa PAS agar hanya memberi fokus untuk bertanding di dua buah negeri sahaja pada PIlihan Raya Umum (PRU) ke – 14 yang akan datang.

Setiausaha Organisasi PAN, Suhaizan Kayat berkata, PAS hanya patut bertanding di Kelantan dan Terengganu sahaja berdasarkan hasil kajian Invoke Malaysia yang dijalankan oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

“Dalam pembentangan hasil kajian Invoke oleh Rafizi, PAS akan dapat corot undi di seluruh negara kecuali Kelantan dan Terengganu.

“Dalam PRU14 lebih baik PAS fokus di dua negeri tersebut sahaja. Dapat memerintah kedua-duanya. Negeri lain serah kepada Pakatan Harapan. Inilah cara terbaik untuk jatuhkan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Invoke Malaysia adalah sebuah badan yang diasaskan oleh Rafizi dan hasil penyelidikan tersebut mendapati PAS sudah tidak diterima dimana-mana negeri selain daripada dua negeri yang disebut.

Menurut Suhaizan lagi, hasil penyelidikan yang dijalankan Rafizi juga mendapati sokongan yang diterima PAN pada ketika ini jauh lebih memberangsangkan jika hendak dibandingkan dengan PAS.

Kajian Ahli Parlimen Pandan menerusi pembentangan hasil kajian oleh organisasinya sendiri itu juga mendapati PAN akan dapat mengalahkan PAS dalam PRU14 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah pihak yang cenderung memilih untuk menafikan kajian Rafizi kerana menyifatkan ia sekadar kajian ‘syok sendiri’ dan berpihak kepada Pakatan Harapan. – KedahNews.com