Pandang Serius Usaha Pemantapan Bahasa Melayu Di Sekolah Vernakular


KUALA NERANG - Kementerian Pendidikan memandang serius tahap penguasaan Bahasa Melayu di sekolah aliran vernakular dan sedia memperkasa program serta silibus sedia ada ke arah pemantapan integrasi dalam kalangan sekolah pelbagai aliran di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya sedia mengkaji kaedah-kaedah yang lebih kreatif dan berkesan dalam usaha memantapkan lagi penguasaan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah aliran berkenaan sebagai medium utama perpaduan.

"Kita ambil serius perkara ini di mana kita ada IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) yang mana guru ambil pengkhususan bahasa termasuk yang mengajar di SK (Sekolah Kebangsaan), SRJK Cina dan Tamil... selain itu ada juga program membabitkan kursus semula bagi memastikan penguasaan bahasa.

"Kita akui penguasaan bahasa Melayu sahaja tak mencukupi (untuk pupuk perpaduan) bagaimanapun untuk lihat satu komponen (perpaduan) itu berhasil, ia memerlukan penguasaan bahasa... kalau bahasa sendiri dah tak boleh nak kuasai, macam mana nak capai benda lain

"Langkah pertama kita dalam memartabatkan negara bangsa dan perpaduan ialah dengan pastikan 30 juta rakyat Malaysia membabitkan semua kaum boleh kuasai bahasa Melayu... lepas itu baharu kita fikir soal program ke arah perpaduan," ," katanya di Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Tekai di sini, semalam.

Memetik laporan BH Online, Kementerian Pendidikan menyokong penuh saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa semua rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu dengan baik dan cemerlang yang turut meliputi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil.

Mengulas berhubung semangat negara bangsa, Mahdzir berkata usaha memperkasa aspek itu tidak boleh diletakkan pada bahu satu bangsa sahaja, sebaliknya perlu dipikul bersama semua rakyat tanpa mengira kaum.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri mengenai komitmen kerajaan untuk memastikan semua pelajar sekolah aliran Cina dan Tamil mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik sebagai medium perpaduan. - Kedahnews.com