Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali |
ALOR SETAR - Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali bertindak melabelkan PAS sebagai “anak butir taik UMNO” apabila Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang mendakwa DAP selama ini menjadi anak butir taik PAP.
Menurutnya, PAS juga boleh dianggap sebagai “anak butir taik UMNO” kerana parti tersebut lahir atas nama Persatuan Islam Se-Malaya semasa Persidangan Alim Ulamak Malaya anjuran UMNO.
"(Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) harus sedar bahawa tohmahan tersebut juga boleh terpakai kepada partinya sendiri - PAS.
"PAS lahir pada tahun 1951 atas nama Persatuan Islam Se-Malaya semasa Persidangan Alim Ulamak Malaya yang dianjurkan oleh UMNO.
"Pengerusi Jawatankuasa Penajanya Haji Ahmad Fuad Hassan merupakan individu yang pernah memegang jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa penasihat agama UMNO.
"Sebaik sahaja PAS sah didaftarkan, beliau menjadi yang dipertua pertama parti itu," katanya.
Sebelum ini, Abdul Hadi dalam satu majlis ceramah perdana sempena kejayaan pembentangan rang undang-undang meminda Akta 355 (RUU355) bertindak mengecam keras DAP dengan menggelarkan parti cauvinis tersebut sebagai "butir tahi" PAP Singapura.
Ujar Abdul Hadi, “bapa DAP” yang sebenarnya adalah Singapura atau lebih tepat parti memerintah PAP (Parti Tindakan Rakyat).
"Dulu (semasa) Singapura dalam Malaysia, ada cawangan PAP di Malaysia. Bila Singapura keluar daripada Malaysia, PAP tukar jadi DAP.
"Jadi DAP ini anak butir taik PAP. (Saya) sebut dengan bahasa yang kasar sikit, ini dia," kata Abdul Hadi.
Disebabkan itu, Sheikh Omar menyifatkan tindakan pucuk teratas PAS tersebut sebagai satu usaha untuk menakut-nakutkan rakyat dan tidak sepatutnya melabelkan DAP sedemikian kerana ia tidak akan memberi apa-apa kesan kepada rakyat dan negara. – Kedahnews.com