PAS Berpotensi Ambil Alih Kedah Pada PRU Ke-14 - Mohd Amar


ALOR SETAR - PAS Negeri Kedah dilihat memiliki potensi besar untuk merampas pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti asalkan mematuhi dua perkara bagi merealisasikan matlamat itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, dua perkara terbabit adalah dengan memperkasakan gerakan parti menerusi pengalaman sebelum ini dan menambahbaik setiap kekurangan yang ada dalam parti.

"Jika lihat pada perkembangan politik, kita ada potensi besar menguasai kembali Kedah, cuma perlu perkukuhkan laluan sebelum ini sebagai pengalaman berharga. Perkemaskan dan tambahbaik kekurangan yang ada," tegas beliau ketika berucap merasmikan Konvensyen PAS Kedah, di Kompleks PAS Kedah, semalam.

Mohd Amar berkata, PAS tidak gentar untuk berhadapan dengan provokasi dan pelbagai fitnah yang dilemparkan parti-parti pembangkang yang lain terhadapnya selain menyifatkan tindakan mereka itu sebagai tidak takut pada dosa dan pahala.

"Bila ada sebut PAS terima RM90 juta, kita percaya. Kata PAS makan dedak UMNO pun percaya, kata pula mahu gabung PAS-UMNO percaya, itu bukan pendekatan PAS. Jangan biar semua itu jejas keyakinan terhadap parti dan pimpinan.

"Parti lain buat fitnah sebab mereka tahu PAS boleh gugat mereka, jangan termakan provokasi musuh yang cari jalan mahu musnahkan keyakinan ahli," tegas beliau kepada ahli PAS Kedah yang hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Sementara itu, PAS Kedah semalam turut menyerahkan senarai nama calon bagi 36 Dewan Undangan Negeri (Dun) dan 15 Parlimen di negeri Kedah kepada PAS Pusat bagi diteliti pucuk pimpinan untuk bertanding pada PRU ke-14 nanti.

Meskipun belum dimuktamadkan jumlah sebenar kerusi yang bakal ditandingi PAS Kedah, namun kesungguhan menyediakan senarai nama bagi semua Dun dan Parlimen di negeri ini membayangkan PAS sedia bertanding 3 atau 4 penjuru pada pilihan raya nanti.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyindir PAS dengan dakwaan kononnya parti lain yang membenarkan berlaku pertandingan 3 penjuru merupakan penyokong Barisan Nasional (BN). -Kedahnews.com