PAS Bersyukur Tiada "Rafizi" Dalam Dewan Pemuda PAS


KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan meluahkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana Dewan Pemuda PAS tidak dicemari dengan wujudnya pemuda yang bersikap seperti Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Menurut Nasrudin, beliau pernah ditanya mengapa sayap PAS itu tidak memiliki seorang pemuda yang bersifat seperti Rafizi, namun beliau hanya mampu tersenyum ketika diasak dengan persoalan berkenaan.

"Kenapa saya tidak seperti Rafizi ? Pemuda PAS lemah kerana gagal melahirkan Rafizi ? Mana Rafizi versi PAS? Waktu itu, saya hanya mampu senyum menerima asakan persoalan sedemikian.

"Hari ini bolehlah saya jawab, mujur Pemuda PAS Malaysia tidak ada Rafizi. Alhamdulillah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Nasrudin lagi, pihak terbabit yang bertanyakan persoalan tersebut ketika Dewan Pemuda PAS dibawah pimpinannya mendakwa sayap PAS itu sangat lemah kerana tidak mempunyai individu seperti Rafizi.

Rafizi merupakan antara tokoh penting Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam membantah usaha PAS membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Parlimen pada 6 April lalu.

Selain itu, Naib Presiden PKR itu juga baru-baru ini mendakwa seorang bekas pemimpin PAS telah menerima dana dari 1MDB dan cuba mengaitkan parti Islam itu kononnya menerima dana sebanyak RM90 juta.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Dewan Ulama PAS kemudian menafikan dakwaan tersebut serta menyifatkan tuduhan Rafizi itu merupakan satu fitnah besar bersandarkan pada "hearsay" selain menggesanya supaya bertaubat. -Kedahnews.com