PAS Dakwa Mahathir "Tiru" Bush, Kecewa Gagal Paksa Ikut Telunjuk


ALOR SETAR - PAS menyifatkan serangan terbaru Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya hanyalah kerana kecewa gara-gara impiannya meletakkan semua parti di bawah telunjuknya telah gagal.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri berkata, beliau tidak terkejut dengan serangan bekas Perdana Menteri itu kerana beliau jelas meniru kaedah "politik ganas" bekas Presiden Amerika Syarikat, George Bush.

"Hakikatnya Tun beridaman untuk meletakkan semua kuasa politik pembangkang di bawah telunjuk beliau.

"Ini adalah cara politik ganas bekas Presiden Amerika Syarikat, George Bush : "If you are not with me, you are against me" (jika anda tidak bersama saya, awak adalah penentang saya)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut tentang serangan Mahathir itu, Dr Ahmad Samsuri menyarankan supaya bekas Perdana Menteri tidak menggunakan gaya politik "mengugut" dan tidak menjejaskan reputasinya sebagai seorang negarawan yang dianggap berjasa di negara ini.

"Tun M patut menjadi negarawan yang lebih tenang, dan tidak merosakkan namanya di waktu penghujung begini," katanya, menyindir bapa kepada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, itu.

Samsuri berkata demikian bagi mengulas dakwaan Mahathir yang mendakwa kononnya selepas PAS ditubuhkan orang Melayu tidak lagi menjadi golongan majoriti, walaupun Melayu merupakan bangsa majoriti di Malaysia.

Mahathir turut mendakwa PAS tidak memberi sedikit pun kejayaan kepada Islam, bahkan lebih menjadi punca kepada pecah belah umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

Pengerusi PPBM itu sebelum ini memberi kata dua kepada PAS supaya bekerjasama dengan Pakatan Harapan atau akan dipinggir dari gabungan pembangkang itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Beliau turut mencetus tanggapan rakyat terhadap PAS kononnya parti itu menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) ekoran keengganannya menurut kata beliau untuk menyertai Pakatan Harapan yang kini dikuasai DAP. - Kedahnews.com