PAS Disaran Lebih Berhati-Hati Pilih Rakan


ALOR SETAR – UMNO Pulau Pinang menasihatkan agar PAS agar lebih bijak dan berhati-hati dalam memilih rakan-rakan politik dalam usaha untuk menjalinkan kerjasama bersama dan juga demi masa depan politik mereka.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, akibat parti Islam itu salah memilih rakan politik, mereka dilayan bagaikan anak tiri oleh rakan-rakan politik dalam pakatan pembangkang.

“Mereka (PAS) berkerja keras untuk membantu DAP dan PKR menang 2 penggal iaitu 2008 dan 2013 (di Pulau Pinang) tetapi lihat sekarang apa yang mereka dapat. Saya kasihan dengan nasib mereka,” katanya.

Menurutnya, beliau simpati dan kasihan dengan nasib PAS yang dikhianati serta tidak dilayan seperti rakan pakatan pembangkang yang lain.

Disebabkan itu, beliau juga tidak hairan malah langsung tidak terkejut dengan tindakan kesemua 13 PAS kawasan di negeri itu yang bertindak mengusulkan PAS Pusat memutuskan kerjasama dengan PKR.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan kesemua 13 PAS kawasan di negeri ini yang secara sebulat suara meluluskan usul menamatkan kerjasama politik dengan PKR dalam muktamar tahunan masing-masing.

Sementara itu, ujar Zainal Abidin hubungan antara PAS dan UMNO negeri tersebut masih lagi dalam keadaan baik dan kedua-dua parti dilihat saling memberi kerjasama dalam setiap hal berkaitan agama Islam.-Kedahnews.com