PAS Kedah Serah Nama 36 Calon Dun, 15 Calon Parlimen Kepada PAS Pusat


ALOR SETAR - PAS Negeri Kedah menyenaraikan calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bagi 36 kerusi Dun dan 15 kerusi Parlimen di negeri ini dan menyerahkan kepada PAS Pusat untuk mempertimbang senarai calon berkenaan.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, senarai itu walau bagaimanapun belum lagi dimuktamadkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi dan pihaknya sedia menerima apa saja keputusan dari kepimpinan PAS Pusat.

"Ini sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan PRU ke-14 diadakan lebih awal.

"Kita turut wujudkan bank calon, di mana beberapa nama diletakkan sebagai calon di satu-satu kerusi,” katanya pada sidang media, selepas Konvensyen PAS Kedah, semalam.

Memetik laporan media, , Dr Ahmad Fakhruddin menjelaskan bahawa senarai berkenaan adalah merupakan yang pertama diserahkan kepada PAS Pusat dan belum lagi disenaraipendek.

"Nama yang tersenarai itu dipilih daripada semua 15 PAS Kawasan.

"PAS Kedah masih berunding dengan Pusat jumlah kerusi ditandingi berdasarkan kepada hasil kajian lajnah negeri dan Institut Strategik PAS Pusat," katanya.

Bagaimana pun tegas beliau, PAS akan mengekalkan jumlah 24 kerusi Dun yang ditandingi sebelum ini selain mengintai potensi kerusi-kerusi baru untuk bertanding pada PRU ke-14 nanti.

"Sekurang-kurangnya PAS Kedah akan bertanding 24 kerusi, itu minimum kerana kajian masih berjalan," katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan wakil rakyat sedia ada yang dilihat mesra Pakatan Harapan akan disingkirkan daripada senarai calon, beliau menegaskan bahawa keputusan tersebut adalah bergantung kepada keputusan dari PAS Pusat.

"PAS Pusat akan buat keputusan akhir, kita tidak boleh umum lagi, tunggulah parlimen dibubarkan atau hari penamaan calon," jelas beliau mengenai beberapa wakil rakyat sedia ada yang dilihat condong kepada Pakatan Harapan berbanding setia pada PAS.

Ahmad Fakhruddin berkata, Kedah juga berhasrat menyumbang lapan kerusi parlimen bagi memenuhi hasrat PAS untuk menang 40 kerusi parlimen.

“Sasaran PAS Kedah menang lapan kerusi parlimen, itu jumlah yang pernah kita menang, tak mustahil sejarah berulang, Ini bukan cakap kosong, kami sasar berserta fakta dan keyakinan,” katanya.

Menurut Pesuruhjaya PAS Keda itu, pihaknya juga yakin dapat merampas kembali Kedah dari Barisan Nasional (BN), walaupun terpaksa berdepan saingan gabungan pembangkang Pakatan Harapan yang dikuasai DAP dan sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). - Kedahnews.com