Pasangan Guru Maut Dalam Nahas Dua MPV, 3 Anak Yatim Piatu

KEADAAN dua kenderaan MPV bertembung di Kilometer 41 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Kampung Merchang, Marang. - Foto; Mohd Syafiq Ambak
KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri maut manakala 11 cedera termasuk dua parah dalam pertembungan dua kenderaan di Kilometer 41 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Kampung Merchang, Marang, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Badrulhisham Omar, 41, dan isteri, Noor Amalia Noorzan, 34, masing-masing guru di Sekolah Kebangsaan Binjai, Kemaman dan Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kemaman, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat cedera parah.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish dipandu Noor Amalia bersama suami dan empat anak berusia antara empat hingga 11 tahun, bertembung dengan sebuah lagi MPV jenis Hyundai dinaiki tujuh individu termasuk lima beranak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Abdul Razak Hasan, berkata pertembungan menyebabkan pasangan suami isteri terbabit cedera parah di kepala, perut dan dada.

Katanya, tiga anak mangsa iaitu Darwish, 4; Diyani, 7; dan Danish, 11, cedera di kepala dan perut, manakala Damia, 9, hanya cedera ringan.

"Enam daripada mangsa yang menaiki MPV Hyundai turut cedera parah manakala pemandunya iaitu penyelia sebuah gudang di Kuantan, Pahang cedera ringan.

"Mangsa dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, Noor Amalia disahkan meninggal dunia pada jam 12.35 tengah malam manakala suaminya menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.16 pagi tadi (semalam)," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Abdul Razak berkata, pihaknya masih mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: BH Online