Pasangan Warga Emas Tidur Atas Lantai Di Pendang Dapat Perhatian

Sukarelawan Yayasan Salam Malaysia (Utara) dan Briged Bakti Malaysia (Kedah) bersama pasangan suami isteri itu.
PENDANG - Sukarelawan Yayasan Salam Malaysia (Utara) dan Briged Bakti Malaysia (Kedah) menziarahi sepasang suami isteri yang hidup serba kekurangan di Kampung Paya Rawa Dalam, semalam.

Ketua sukarelawan, Nathrah Fazilah berkata, kehadiran mereka itu adalah susulan laporan media baru-baru ini.

Menurutnya, dalam kunjungan itu mereka turut menyumbang sedikit wang tunai dan makanan keperluan harian.

“Sinar Harian 14 April lalu menyiarkan kisah sepasang suami isteri yang memerlukan bantuan tilam kerana hanya tidur berlantaikan simen.

"Kehadiran kami untuk membantu pasangan ini supaya mereka boleh meneruskan hidup dengan lebih selesa. Memang benar anak pasangan ini tinggal berhampiran, tapi kami dimaklumkan mereka juga hidup susah," katanya.

Sementara itu, Ramlah Awang, 75, berkata, dia dan suami sangat bersyukur dengan bantuan diberikan itu.

Pasangan suami isteri itu juga menerima kunjungan daripada Ummah Care Pendang yang turut menghulurkan bantuan.

Sumber: Sinar Harian