PDRM, SKMM Diminta Siasat Gambar Intim Mirip Zairil, Dyana Sofya


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta menyiasat gambar intim seorang lelaki yang mirip Anggota Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, dan seorang wanita yang menyerupai Dyana Sofya Mohd Daud, bekas calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan yang tersebar di laman sosial.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (Gaum) Datuk Zulkarnain Mahdar berkata siasatan perlu dilakukan bagi mencari dalang terbabit, sekali gus membersihkan nama Barisan Nasional (BN) dan Umno yang dituduh menyebarkan gambar itu.

"Saya cukup yakin bukan ahli Umno atau BN (sebarkan gambar itu). Dalam menghadapi pilihan raya umum, kita berperang dengan DAP menggunakan fakta.

"Mungkin musuh Zairil buat (sebarkan), mana kita tahu. Oleh itu, kita mahu polis dan SKMM siasat (perkara ini)," katanya selepas membuat laporan polis berhubung gambar berkenaan di Balai Polis Sri Petaling di sini, Sabtu.

Beliau berkata Zairil mahupun Dyana Sofea juga perlu tampil memberi penjelasan memandangkan semua pihak ingin tahu perkara sebenar sama ada gambar itu palsu atau tidak.

"Zairil sendiri perlu tampil buat laporan polis...saya bersetuju dengan Dyana Sofea yang penyebaran gambar itu mengganggu hak individu dan tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Beberapa hari lepas, beberapa gambar intim yang didakwa Dyana Sofya yang juga Zairil yang juga Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang tersebar di laman sosial.

Ini merupakan kali ketiga penyebaran gambar dan video yang didakwa membabit kedua-dua pemimpin Melayu DAP itu. -Bernama