Pelabur Tak Yakin Untuk Melabur Bila Politik Tidak Stabil, Rakyat Rugi


GURUN - Rakyat perlu bijak memilih sebuah parti yang stabil dan terbukti berpengalaman luas untuk mentadbir sesebuah kerajaan bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kemakmuran negara mahupun negeri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, para pelabur hanya akan tertarik dan yakin untuk datang melabur ke sesebuah negara atau negeri sekiranya keadaan politiknya kukuh, seterusnya akan memberi keuntungan kepada semua pihak.

"Pelabur hanya akan berani datang melabur jika mereka melihat keadaan politik di negara itu stabil dan kukuh. Jika politik stabil, ekonomi biasanya akan mantap. Kalau politiknya huru-hara, pelabur pun tidak berani datang melabur.

"Jadi, kita perlukan sebuah kerajaan yang stabil dan lebih kukuh di negeri Kedah ini. Di peringkat pusat juga, kita perlu pilih parti yang kukuh dan stabil.

"Maka sebab itulah pada pilihan raya yang akan datang ini, kita perlu pastikan Barisan Nasional berjaya mencapai sasaran 2/3 di Kedah dan Pusat," ucap beliau disambut tepukan gemuruh lebih 1,000 hadirin, di sini, petang semalam.

Selain itu katanya, kemajuan sesebuah negeri itu juga amat sukar direalisasikan sekiranya kerajaan negeri tidak mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan persekutuan, apatah lagi sekiranya mempunyai kerajaan dari parti yang berbeza.

Jelas beliau, pengalaman sepenggal sebagai pembangkang sebelum ini telah mengajar keperitan kepada pimpinan parti untuk terus memberi khidmat terbaik buat rakyat dan memastikan kawasan yang diwakili tidak terpinggir dari pembangunan negara.

"Masa kita sepenggal jadi pembangkang dulu, kita dah rasa sukarnya. Nak tolong rakyat pun perlu cari di Kerajaan Pusat. Tapi alhamdulillah, kerajaan pusat tidak pernah hampakan kita.

"Bila kita jadi kerajaan pun, bila tidak ada hubungan baik dengan kerajaan pusat pun, kita susah juga. Bersikap sombong dengan kerajaan pusat, tapi dalam masa yang sama kita minta pertolongan dari sana, maka susahlah nak dapat," katanya lagi.


Sehubungan itu, Ahmad Bashah menyeru kepada seluruh ahli dan pimpinan BN di Parlimen Jerai supaya bermuafakat bersatu hati memastikan sasaran majoriti 2/3 dapat dipenuhi pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang nanti.

Tegas beliau, majoriti 2/3 amat perlu bagi membolehkan kerajaan negeri dan persekutuan membuat keputusan serta dasar-dasar yang lebih baik untuk rakyat, selain dapat memberi keyakinan kepada para pelabur untuk memakmurkan lagi ekonomi negara.

Menteri Besar itu turut membidas dakwaan yang mengatakan kononnya pelaburan yang datang dari China merupakan petanda negara ini dijajah oleh negara asing.

Jelas beliau, Malaysia sudah sekian lama menerima pelabur luar sejak awal merdeka dahulu dan terbukti tidak ada seinci pun tanah di negara ini tergadai atau terjual kepada negara asing sebagaimana yang didakwa pihak berkenaan.

Ahmad Bashah berucap di majlis Jamuan Makan Tengah Hari Himpunan Perpaduan Parlimen Jerai Bersama Menteri Besar Kedah di Dewan Sri Zaleha di NAZA, bersempena lawatan sehari beliau bersama rakyat di Parlimen Jerai, di sini semalam.

Turut hadir adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Jerai, kepimpinan BN Parlimen Jerai, ketua-ketua sayap BN, pemimpin akar umbi serta ahli parti. - Kedahnews.com