Pelajar IPTA Didakwa Buang Bayi Dibebas Dengan Jaminan Polis


ALOR SETAR - Pelajar yang ditahan polis berhubung kes buang bayi telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya berakhir pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Datuk Mohd Nashir Ya berkata, suspek berusia 20 tahun itu yang juga penuntut tahun pertama di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di utara tanah air dibebaskan kira-kira pukul 3.45 petang Ahad.

"Laporan bedah siasat masih belum selesai dan pada masa ini, kami sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayinya di dalam mangkuk tandas," katanya ketika dihubungi.

Pada Khamis, polis menahan suspek selepas laporan dibuat susulan penemuan mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan di dalam mangkuk tandas di asrama IPTA itu.

Laporan dibuat oleh orang awam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di Jitra kira-kira pukul 5.20 petang Khamis.

Mohd Nashir berkata suspek dari Sungai Petani itu ditahan ketika sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital awam.

Sumber: mStar