Pelajar Jadi Ahli Geng 24 Melalui WhatsApp


KUALA LUMPUR – Kumpulan kongsi gelap yang menggelarkan diri mereka sebagai Geng 24 dikesan menggunakan aplikasi WhatsApp untuk merekrut ahli baharu terutama pelajar sekolah.

Ia bagi mengembangkan ‘pengaruh’ dan kekuatan mereka. Ini susulan hasil siasatan polis selepas menemui satu akaun kumpulan WhatsApp yang dinamakan Geng 24 dan Apache.

Media tempatan melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, siasatan mendapati kewujudan akaun WhatsApp itu untuk berkomunikasi sesama anggota kumpulan.

Modus operandi rahsia tersebut dikhuatiri pihak polis, turut digunakan untuk merekrut ahli dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Khamis lalu, kecoh di media sosial apabila video sekumpulan lelaki yang membuat kekecohan di hadapan sebuah sekolah di Klang, Selangor.

Susulan kejadian itu, polis menahan 38 orang yang dipercayai anggota Geng 24 dan membebaskan 33 orang daripadanya yang merupakan pelajar berusia antara 16 hingga 18 tahun pada Isnin lalu dengan jaminan polis.

Seramai lima individu berusia antara 20 hingga 25 tahun yang msing-masing bekerja sebagai mekanik, pengawal keselamatan, tukang paip dan buruh masih ditahan untuk membantu siasatan.

Polis percaya motif kekecohan di hadapan sekolah itu adalah bertujuan untuk menarik pelajar menganggotai kumpulan berkenaan selain menimbulkan keadaan huru-hara.

Kes disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga enam bulan, atau denda atau kedua-dua sekali. –Kedahnews.com